Mat rempit masuk perangkap polis
MOHD ISKANDAR OTHMAN
27 Januari 2025 12:15pm
Sebahagian mat rempit ditahan dalam Op Samseng Jalanan dilakukan di Jalan Lingkaran Luar Butterworth, pada Ahad.
BUTTERWORTH - Cubaan sekumpulan mat rempit meloloskan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini gagal apabila diberkas dalam Op Samseng Jalanan dilakukan pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, operasi dilakukan jam 6.45 petang itu berjaya menahan 90 buah motosikal dan seramai 132 orang diperiksa termasuk penunggang dan pembonceng motosikal.
Menurutnya, sebanyak 111 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain 10 buah motosikal telah disita kerana ubah suai, tiada lesen serta insurans.
"Semasa operasi dijalankan polis telah membuat penutupan di semua laluan keluar masuk di lokasi operasi dan semua motosikal melalui kawasan itu ditahan untuk diperiksa.
"Kebanyakan penunggang motosikal telah bersikap agresif untuk melepaskan diri dari operasi terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Anuar berkata, dalam operasi berkenaan seorang seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
https://www.sinarharian.com.my/article/709498/berita/semasa/mat-rempit-masuk-perangkap-polis
|