Dua rentung di Tongkang Yard: Reman 5 suspek disambung seminggu lagi
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 27, 2025 @ 1:08pm [email protected]
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh bercakap pada sidang media pada 22 Januari lalu mengenai tangkapan suspekl kes kebakaran sehingga menyebabkan dua rentung di Tongkang Yard di IPK Alor Setar. - Foto fail NSTP
ALOR SETAR: Lima suspek yang ditahan polis berhubung kematian dua lelaki yang ditemukan rentung di sebuah rumah di Tongkang Yard, Selasa lalu disambung reman tujuh hari lagi untuk membantu siasatan.
Perintah kebenaran sambung reman dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali, bermula hari ini hingga 3 Februari depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semua mereka berusia 19 hingga 53 tahun ditahan pada hari kejadian sebelum direman bermula Rabu lalu hingga hari ini.
Muhammad Muslim Mohd Zaini yang ditemukan rentung bersama bapa angkatnya di sebuah rumah di Tongkang Yard, Selasa minggu lalu. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dalam sidang media sebelum ini berkata, kelima-lima suspek ditahan sejurus selepas kejadian.
Katanya, yang pada awalnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan polis bersama Bomba menemukan bahan api yang dipercayai digunakan dalam kebakaran.
Fisol berkata ini susulan siasatan mendapati terdapat bau petrol dan botol mineral yang mengandungi separuh bahan api itu di tempat kejadian.
Siasatan awal polis juga mendapati perbuatan bermotifkan dendam.
Katanya, tiga suspek utama didapati positif dadah manakala dua daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Media sebelum ini melaporkan, seorang warga emas Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran terbabit.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1354255/dua-rentung-di-tongkang-yard-reman-5-suspek-disambung-seminggu-lagi
|