CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3673|Reply: 0

[Pulau Pinang] Kenal pasti 42 langkah cetus perubahan

[Copy link]
Post time 27-1-2025 12:43 PM | Show all posts |Read mode
Kenal pasti 42 langkah cetus perubahan

Siti Aminah Mohd Yusof[email protected]





Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar





Georgetown: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengenal pasti 42 game changer atau pencetus perubahan penting bagi 2025 dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat luar bandar selepas berjaya melaksanakan 62 program utama sepanjang 2024.

Perkara itu diputuskan dalam sesi Permukiman KKDW 2025 yang berlangsung tiga hari dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 17 hingga 19 Januari lalu di Hotel Bahang Bay di sini, baru-baru ini.

Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar ketika merumuskan program tersebut menekankan kepentingan menerapkan kerjasama merentasi fungsi silang antara agensi serta jabatan di bawah Kementerian itu dalam membawa penyelesaian pelbagai isu melalui pertukaran idea dan kepakaran peserta.

Beliau menjelaskan, perancangan tersebut melibatkan penubuhan empat kluster utama iaitu Modal Insan (18), Ekonomi (4), Usahawan (11), Reformasi Birokrasi (9) melibatkan pelbagai agensi dan portfolio berbilang peranan di bawah Kementerian berkenaan.

"Tanpa permukiman ini kita lihat tiada pencambahan minda secara bebas berlaku disebabkan masing-masing bertugas di jabatan atau agensi berbeza dan mereka tidak mengetahui secara langsung persekitaran organisasi di luar bidang tugas mereka.

"Tetapi apabila mereka dipecahkan kepada empat kluster walaupun mereka tidak berada contohnya dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Majlis Amanah Rakyat (Mara) mereka dapat menyumbang idea, sekali gus memaksimumkan keupayaan, kepakaran setiap institusi di bawah KKDW," katanya.

Seramai 140 peserta terdiri daripada pengurusan tertinggi dan pegawai kanan kementerian serta jabatan dan agensi di bawah KKDW termasuk agensi di bawah portfolio dan seliaan Timbalan Perdana Menteri iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis TVET Negara (MTVET) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menyertai permukiman berkenaan.

Muhd Khair berpandangan, Kementerian itu harus mengatasi mentaliti silo yang merujuk kepada budaya individu, jabatan atau organisasi bekerja secata terpisah tanpa berkomunikasi atau berkoordinasi dengan pihak lain.

Beliau berkata, hal berkenaan menjadi cabaran yang harus dipikul dalam mengubah amalan semasa dengan menyemak kembali peraturan semasa dan memperkenal dasar atau proses baharu dalam mengurangkan ketidakcekapan.

"Ini ditekankan Perdana Menteri apabila adanya mesyuarat dengan Ketua Setiausaha (KSU) dan sebagainya beliau mengatakan perlunya setiap Kementerian dan jabatan menilai dasar sedia ada dan jika ada keperluan memperkenalkan atau menilai dasar baharu.

"Justeru, permukiman ini mencerminkan komitmen dan iltizam KKDW dalam menetapkan hala tuju secara berstruktur terutama dalam penyediaan kemudahan asas, ekosistem pendidikan, peluang ekonomi dan pekerjaan untuk kesejahteraan masyarakat desa," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, melihat pemberian bantuan peralatan kepada golongan memerlukan, sebelum ini audit dilaksana dalam dua tahun selepas peralatan dibekalkan. Tetapi, kini agensi terlibat boleh mengambil pendekatan pengisyitiharan sendiri dalam tempoh tiga hingga enam bulan untuk melihat sejauh mana perkembangan atau prestasi hasil bantuan yang disalurkan.

Tambahnya, begitu juga dengan pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) untuk golongan miskin yang harus disegerakan dengan agensi bertanggungjawab perlu memastikan kontraktor memulakan kerja dalam tempoh masa ditetapkan selepas surat arahan kerja dikeluarkan.

"Contohnya walaupun diberi surat arahan pelaksanaan, ada yang mengambil masa lebih satu tahun memandangkan kita nak beri pertolongan kepada golongan miskin kita lihat perlu ada tempoh sah laku.

"Jadi setakat ini, kalau kita beri enam bulan, mereka tidak boleh mulakan kerja, mereka perlu datang semula kepada KKDW untuk kita lihat kewajaran mereka teruskan projek tersebut.

"Mungkin jika ada masalah daripada segi pemilikan tanah ataupun masalah libatkan rakyat, kita boleh bekerjasama dengan ramai pihak, contohnya kerajaan negeri yang boleh sediakan tanah sesuai untuk dijadikan perkampungan untuk PPRS," katanya.

Beliau berkata, selaras peranan dimainkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, KKDW turut berhasrat memperluaskan projek Digital Nomad ke kawasan luar bandar, termasuk menjalin kerjasama dengan negara luar seperti Thailand dan Indonesis untuk tujuan tersebut.

Selain itu, KKDW dalam usaha mengantarabangsakan peranannya melalui unit khas memberi fokus kepada sinergi global yang akan diperkukuh pegawai berpengalaman untuk menerajui kerjasama pada peringkat antarabangsa.

Beliau menegaskan keperluan mewujudkan sistem pemantauan berasaskan data untuk menilai keberkesanan projek, pembangunan papan pemuka untuk memantau prestasi projek dan profil komuniti luar bandar, termasuk aspek demografi dan migrasi penduduk, sedang giat dilaksanakan

Katanya, dalam usaha menangani migrasi bandar, KKDW memainkan peranan membangunkan infrastruktur luar bandar bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati infrastruktur diperlukan, sekali gus mengatasi kepadatan di kawasan bandar.

"Saya harus beri pujian kepada pegawai yang menguruskan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana mereka mula menyediakan profil kampung dari segi maklumat isi rumah, kategori pekerjaan, adakah anak-anak penduduk tinggal di desa atau bermigrasi ke tempat lain.

"Sehingga kini kerjasama yang telah diberikan amat memuaskan dan paling penti menterjemahkan game changer menjadi realiti," katanya.



Disiarkan pada: Januari 27, 2025 @ 12:23pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/01/1181005/kenal-pasti-42-langkah-cetus-perubahan




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 08:33 AM GMT+8 , Processed in 0.420136 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list