CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1440|Reply: 0

[Kedah] Imigresen dijangka serbu lebih banyak klinik haram warga asing - Saifuddin

[Copy link]
Post time 25-1-2025 05:04 PM | Show all posts |Read mode
Imigresen dijangka serbu lebih banyak klinik haram warga asing - Saifuddin

Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Januari 25, 2025 @ 3:07pm [email protected]




Jabatan Imigresen Malaysia (JIN) menyerbu 10 lokasi klinik haram kendalikan doktor palsu warga asing di sekitar Kuala Lumpur kelmarin. FOTO Ihsan JIM





KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan lebih banyak serbuan dibuat pihak berkuasa terhadap klinik yang beroperasi secara haram dalam kalangan warga asing menggunakan doktor palsu di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kegiatan klinik berkenaan kini dalam perhatian Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas 10 daripadanya diserbu kelmarin.

Beliau berkata, operasi khas yang dilaksana JIM akan diteruskan bagi mengesan klinik terbabit bagi membanteras kegiatan yang dilihat membahayakan orang ramai untuk mendapatkan rawatan.

"Akan ada lagi serbuan selepas ini, sebahagian besar (operasi klinik haram) dikesan di Lembah Klang dan beberapa kawasan berdekatan.

"Kita sudah kenal pasti dan tahu lokasi klinik itu beroperasi dan semuanya dalam radar pihak JIM," katanya pada sidang media selepas hadir Program Sua Mesra KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karangan, Padang Serai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, isu ini bermula apabila ada pihak mengambil kesempatan inisiatif kerajaan menggalakkan aktiviti pelancongan perubatan bagi menarik pesakit mendapat rawatan di Malaysia.

Katanya, bagi mengelak pihak tertentu mengambil peluang daripada inisiatif ini, JIM akan bertindak memastikan setiap permohonan dibuat melalui visa perubatan diteliti bagi mengelak disalah guna pihak terbabit.

"Oleh kerana permintaan itu tinggi, maka timbul gejala sama ada klinik palsu, doktor palsu, sijil perakuan doktor palsu, tapi macam mana sekalipun, sistem JIM tidak sewenang-wenangnya boleh mereka atasi.

"Sebab itu berlaku sijil perubatan palsu, klinik palsu, doktor palsu, perakuan doktor palsu yang kita dapat kesan. Jadi saya bagi jaminan JIM akan terus melihat perkara ini dengan cermat sebelum sesuatu visa dikeluarkan bagi tujuan ini," katanya.

Kelmarin, JIM menyerbu 10 premis di ibu kota yang disyaki beroperasi sebagai klinik secara haram sejak setahun lalu dan menahan 10 lelaki warga Bangladesh menyamar sebagai doktor di setiap lokasi terbabit.

Operasi khas bersama Kementerian Kesihatan (KKM) itu dilancarkan di 10 lokasi membabitkan enam premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang.

Semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua tinggal lebih masa dan seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1353587/imigresen-dijangka-serbu-lebih-banyak-klinik-haram-warga-asing-saifuddin





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 08:37 AM GMT+8 , Processed in 0.041175 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list