Kepulan asap kelihatan dari lokasi serbuan tentera Israel di kem Jenin, di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS
JENIN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel menggunakan 'taktik medan perang' ketika melancarkan operasi tentera terhadap orang awam di Jenin, tebing Barat yang diduduki.
Menurut badan dunia itu, tindakan ketenteraan mirip kepada operasi menentang Hamas di Gaza setakat ini meragut 14 nyawa, kebanyakannya orang awam yang mendapatkan perlindungan di kem pelarian.
Sementara itu di Ramallah, serangan dron Israel ke atas sebuah kenderaan berhampiran bandar Qabatiya di Tebing Barat mengorbankan dua individu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin semalam.
Serangan itu berlaku pada hari keempat operasi berskala besar Israel berdekatan bandar Jenin, susulan gencatan senjata di Gaza.
Penduduk Palestin meneliti lokasi serangan maut oleh Israel yang memusnahkan sebuah kereta, berhampiran Jenin, di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS Tentera Israel sedang menjalankan operasi besar-besaran di Jenin bagi menumpaskan kumpulan pejuang Palestin yang dikatakan mendapat sokongan Iran, hanya dua hari selepas gencatan senjata dengan Hamas di Semenanjung Gaza berkuat kuasa.
Menurut pegawai kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terkorban dalam operasi berkenaan, selain dua individu yang didakwa sebagai anggta sayap bersenjata Hamas manakala 50 yang lain cedera.
Keadaan sebuah kereta selepas ia terkena serangan maut Israel, berhampiran Jenin, di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS
Tentera Israel turut menyatakan bahawa mereka menahan 20 suspek dikehendaki dan merampas senjata.
Jentera perisai seperti jentolak merobohkan rumah serta mengorek jalan di kem pelarian berhampiran Jenin, yang didakwa menjadi pusat utama kumpulan bersenjata.
Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNHRC), Thameen Al-Kheetan, berkata beliau sangat bimbang mengenai penggunaan kekerasan dan menyatakan bahawa operasi di Jenin menimbulkan kebimbangan serius mengenai penggunaan kekerasan yang tidak perlu atau keterlaluan.
Pertempuran di Gaza sudah dihentikan untuk memulakan fasa pertama gencatan senjata selama enam minggu yang disokong oleh Qatar, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir. - REUTERS
|