Kilang barangan kitar semula terbakar
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 25, 2025 @ 10:54am[email protected]
Kilang barangan kitar semula di Taman Ria musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
SUNGAI PETANI: Sebuah kilang barangan kitar semula di Taman Ria, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abdul Fataf Amdan, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.35 pagi.
Beliau berkata, operasi disertai tujuh anggota dari BBP Aman Jaya dan dibantu sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani, Tikam Batu dan Yan.
"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan kilang jenis binaan kekal barangan kitar semula.
"Kemusnahan kebakaran itu dianggarkan kira-kira 80 peratus dan tiada mangsa berada dalam kilang terbabit ketika kebakaran berlaku," katanya.
Menurutnya, api dikawal pada jam 5.50 pagi dan operasi pemadaman masih lagi dilakukan di lokasi.
Katanya, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1353445/kilang-barangan-kitar-semula-terbakar
|