Polis merampas senapang angin dan beberapa peluru yang digunakan untuk menembak mati seekor kucing.
JAKARTA - Hanya disebabkan tidak berpuas hati kereta sering dijadikan tempat tidur dan dikencing kucing, seorang lelaki bertindak luar kawalan apabila menembak mati haiwan itu.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Polis Kelapa Gading, Seto Handoko, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek dikenali sebagai DD, 45, selain turut merampas senapang angin yang dijadikan sebagai senjata membunuh.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana keretanya sering didatangi kucing hingga menyebabkan kenderaan tersebut calar.
"Bagaimanapun, suspek tidak dapat membukti keterangan tersebut kerana dia sendiri tidak pasti kucing yang mana telah merosakkan kenderaan miliknya,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menembak kucing yang kebetulan berada di hadapan rumahnya dengan menggunakan senapang angin.
Menerusi rakaman itu, seorang lelaki dilihat membawa objek seperti senapang lalu diacukan ke arah seekor kucing menyebabkan haiwan itu rebah.
|