EMPAT tebusan yang dinamakan Hamas bakal dibebaskan hari ini, sebagai pertukaran untuk 200 tahanan Palestin. FOTO AFP.
Baitulmaqdis: Pejuang Palestin Hamas dijangka membebaskan empat askar wanita Israel, hari ini, sebagai pertukaran untuk sekumpulan tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata yang menyasarkan penamatan perang 15 bulan di Gaza.
Empat askar itu dikenali, Karina Ariev, Daniela Gilboa, Naama Levy dan Liri Albag, semuanya ditempatkan di pos pemerhatian di pinggir Gaza dan diculik pejuang Hamas yang menyerbu pangkalan mereka ketika serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Pejabat media tahanan Hamas berkata, pihaknya menjangkakan 200 tahanan Palestin akan dibebaskan Israel hari ini sebagai sebahagian daripada pertukaran itu, termasuk 120 orang yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 80 banduan dengan hukuman panjang yang lain.
Pertukaran itu adalah yang kedua sejak gencatan senjata bermula Ahad lalu dan Hamas menyerahkan tiga orang awam Israel sebagai pertukaran untuk 90 tahanan Palestin.Hamas mengenal pasti empat tebusan yang akan dibebaskan dalam pertukaran kedua itu semalam. Bagaimanapun, Israel tidak mengulas secara rasmi dan mungkin tidak berbuat demikian sehingga benar-benar menerima mereka.
Perjanjian gencatan senjata yang dicapai selepas berbulan-bulan rundingan yang diuruskan oleh Qatar dan Mesir serta disokong oleh Amerika Syarikat (AS), telah menghentikan pertempuran buat kali pertama sejak gencatan senjata yang berlangsung hanya seminggu pada November 2023.
Dalam fasa enam minggu pertama perjanjian itu, Hamas bersetuju untuk membebaskan 33 tebusan, termasuk kanak-kanak, wanita, lelaki tua dan orang sakit serta cedera, sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin di penjara Israel, manakala tentera Israel berundur dari beberapa tempat di Semenanjung Gaza. Dalam fasa berikutnya, kedua-dua pihak akan merundingkan pertukaran baki tebusan yang tinggal, termasuk lelaki cukup umur tentera, dan pengunduran tentera Israel dari Gaza yang sebahagian besarnya sudah ada sejak 15 bulan pengeboman.
Israel melancarkan kempennya di Gaza berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorban 1,200 orang dan membawa lebih 250 tebusan kembali ke Gaza, menurut pengiraan Israel. Sejak itu, lebih 47,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan di sana.
Selepas pembebasan tebusan Romi Gonen, Emily Damari dan Doron Steinbrecher, Ahad lalu dan penemuan mayat askar Israel yang hilang selama sedekad, Israel berkata, terdapat 94 warga Israel dan warga asing kekal ditahan di Gaza walaupun tidak jelas jumlah sebenar mereka yang masih hidup.
Disiarkan pada: Januari 25, 2025
|