CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1574|Reply: 0

[Pulau Pinang] LTAPP lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia

[Copy link]
Post time 25-1-2025 12:01 AM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 25-1-2025 12:03 AM

LTAPP lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia

\SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
24 Januari 2025 02:44pm




Data terkini dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menunjukkan LTAPP sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia pada tahun lalu selepas KLIA. Gambar kecil: Wong Hon Wai




GEORGE TOWN- Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) diumumkan sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia pada tahun lalu selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, data terkini dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu juga menunjukkan LTAPP telah mengatasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dengan margin yang nipis.


Menurutnya, pada tahun lalu, LTAPP mencatatkan 64,507 pergerakan kapal terbang, yang mana, jumlah itu mengatasi LTAKK yang mencatatkan 63,822 pergerakan.

"Angka ini juga melebihi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dengan 59,929 pergerakan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (54,969 pergerakan). KLIA kekal di kedudukan pertama dengan 366,895 pergerakan.


"Angka ini mengukuhkan peranan penting Pulau Pinang dalam rangkaian penerbangan negara dan pertumbuhan pesatnya sebagai hab antarabangsa bagi pelancongan dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, pada tahun lalu juga, LTAPP mencatatkan peningkatan 7.07 peratus jumlah penumpang iaitu seramai 7.5 juta berbanding 6.98 juta pada tahun 2023.


"Peningkatan ini mencerminkan tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa, selaras dengan pemulihan sektor pelancongan pasca-pandemik.

"Pertumbuhan ini juga seiring dengan pelaburan besar yang dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang dalam sektor pelancongan sepanjang dua tahun lalu," jelasnya.

Tambah Hon Wai, pada 2024, LTAPP merekodkan 565 penerbangan mingguan, meningkat 8.03 peratus daripada 523 penerbangan mingguan pada tahun 2023.

"Penerbangan antarabangsa, khususnya mencatatkan pertumbuhan ketara dengan 304 penerbangan mingguan pada tahun 2024, meningkat 17.37 peratus daripada 259 penerbangan mingguan pada tahun sebelumnya.

"Data ini mencerminkan peningkatan hubungan udara Pulau Pinang dan peranannya sebagai hab penerbangan di wilayah utara Malaysia untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap perkhidmatan udara di rantau ini,” ujarnya.

Jelasnya, tahun lalu juga, LTAPP mencatatkan rekod baharu bagi akses penerbangan dan pelancongan Pulau Pinang.


"Sejak Ogos 2023, LTAPP telah memperkenalkan 12 laluan antarabangsa terus baharu, menghubungkan negeri ini ke 10 bandar di seluruh dunia. Antara laluan antarabangsa terus baharu ke Pulau Pinang ialah dari Xiamen, Dubai, Bangkok, Shanghai, Hong Kong dan Shenzhen.

"Selain itu, pada tempoh sama, tiga laluan carter ke Pulau Pinang telah dihentikan iaitu dari Guilin, Haikou dan Kunming.

"Pemberhentian ini kerana penerbangan carter sering disesuaikan mengikut permintaan dan keperluan khusus pelanggan. Pengoperasian penerbangan carter juga dipengaruhi oleh permintaan pasaran dan faktor musim," ulasnya.

Menurutnya, jaringan laluan antarabangsa Pulau Pinang kini menghubungkan 20 bandar termasuk Shanghai, Shenzhen, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Dubai, Singapura, Bangkok, Phuket, Medan, Jakarta, Surabaya, Taipei, Ho Chi Minh City dan Doha.


"Dengan projek pembesaran LTAPP yang sedang dilaksanakan, kedudukan Pulau Pinang sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia akan terus kukuh.

"Penambahan laluan baharu akan menghubungkan Pulau Pinang dengan lebih banyak bandar, mengukuhkan lagi peranannya sebagai hab penerbangan serantau dan pintu masuk penting ke wilayah utara Malaysia," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/709064/berita/nasional/ltapp-lapangan-terbang-kedua-paling-sibuk-di-malaysia


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 08:37 AM GMT+8 , Processed in 0.036784 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list