Edited by sfhzuraz at 24-1-2025 02:32 PM
Pekerja kontrak maut ditimpa zink
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
24 Januari 2025 12:08pm
Seorang pekerja kontrak maut selepas ditimpa bumbung zink di tapak pembinaan dewan serbaguna di Simpang Ampat, Batu Kawan. Gambar hiasan
GEORGE TOWN - Seorang pekerja kontrak warga asing maut selepas ditimpa bumbung zink ketika memindahkan zink tersebut dari lori ke tapak pembinaan dewan serbaguna di Simpang Ampat, Batu Kawan di sini.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, kemalangan tersebut berlaku pada jam 9.45 pagi, 20 Januari lalu.
Menurutnya, mangsa berusia 28 tahun telah dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika sedang diberi rawatan.
"Kemalangan berlaku ketika mangsa memindahkan bumbung zink dari lori ke dalam tapak pembinaan. Mangsa dilaporkan telah dihempap oleh bumbung yang dipindahkan dari lori dengan menggunakan kren bergerak.
"Ikatan yang mengikat zink bumbung pada cangkuk kren tersebut telah terbuka ketika kerja-kerja mengubah zink berkenaan lalu menghempap mangsa yang berada berdekatan dengan lori yang membawa barangan tersebut ke tapak pembinaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia pada hari sama.
"Sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kemalangan tersebut.
"Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan pekerja dari syarikat sub kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja memasang bumbung pada dewan serbaguna tersebut," jelasnya.
Ujar beliau, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di tapak pembinaan tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
"Pihak JKKP juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP.
"Siasatan susulan dijalankan untuk mendapatkan dokumen berkaitan selain merakam percakapan semua saksi yang dikenal pasti. Lawatan susulan ke premis majikan akan dijalankan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil," katanya.
Hairozie menambah, tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran di bawah akta tersebut.
Jelas beliau, majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
"Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan," katanya.
Menurutnya, JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor.
https://www.sinarharian.com.my/article/709028/berita/semasa/pekerja-kontrak-maut-ditimpa-zink
|