CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17682|Reply: 0

Thailand nafi rancangan hantar pulang 48 Uyghur ke China

[Copy link]
Post time 23-1-2025 07:49 AM | Show all posts |Read mode

Antara warga Uyghur yang kini ditahan di Thailand. - Foto REUTERS.

K: Pakar PBB beri amaran tindakan buka peluang penyiksaan

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand hari ini menafikan terdapat rancangan untuk menghantar pulang seramai 48 orang etnik Uyghur yang ditahan di pusat tahanan negara itu ke China, susulan amaran pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemungkinan mereka kembali berdepan penyeksaan jika kembali.

Golongan Uyghur ini melarikan diri dari China — yang dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia serius di wilayah Xinjiang - lebih sedekad yang lalu dan hidup dalam ketakutan berterusan jika dihantar pulang.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa kerajaan Thailand merancang untuk menghantar mereka pulang dalam masa terdekat, tetapi semalam, pakar PBB menggesa pihak berkuasa supaya 'segera menghentikan' kemungkinan itu.

Pihak berkuasa Thailand bagaimanapun berulang kali menafikan wujudnya rancangan sedemikian.

"Keputusan akan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara dan setakat ini tiada arahan (untuk menghantar mereka pulang)," kata seorang pegawai kanan dari jabatan imigresen yang enggan namanya didedahkan kepada AFP pada hari ini.

Seorang pegawai dari majlis keselamatan negara juga memberitahu AFP 'tiada arahan' dikeluarkan.

Kenyataan ini susulan ucapan Ketua Polis Negara, Kitrat Phanphet, pada kelmarin yang berkata, 'polis Thailand dan Jabatan Imigresen tidak menerima sebarang laporan tentang pemulangan itu'.

Kumpulan 48 Uyghur itu yang ditahan pada tahun 2013 dan 2014, kini berada di pusat-pusat tahanan imigresen di sekitar Thailand.

Pakar PBB mengatakan, mereka ditahan selepas melintasi sempadan Thailand untuk mencari perlindungan dan didakwa ditahan secara de facto tanpa komunikasi selama lebih sedekad serta tanpa akses kepada peguam atau ahli keluarga.

Pakar juga menggesa Thailand membantu mereka mendapatkan prosedur suaka dan bantuan kemanusiaan,

"Pada pandangan kami, mereka tidak sepatutnya dihantar pulang ke China. Kami bimbang mereka berisiko mengalami penderitaan yang buruk," katanya.

Minggu lalu, Human Rights Watch mendakwa pegawai imigresen Thailand meminta kumpulan Uyghur itu melengkapkan dokumen baharu dan mengambil gambar mereka, iaitu langkah yang dipercayai kumpulan itu sebagai persediaan untuk pemindahan secara paksa.

Kumpulan hak asasi itu juga mendakwa kumpulan Uyghur sedang mogok lapar, namun pihak berkuasa Thailand menafikan dakwaan berkenaan.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melabelkan layanan China terhadap minoriti Muslim itu sebagai 'pembunuhan beramai-ramai'.

Laporan PBB yang mengejutkan pada 2022 mendedahkan pelanggaran hak termasuk penyeksaan, kerja paksa, dan penahanan sewenang-wenangnya secara besar-besaran di pusat latihan vokasional yang digelar oleh Beijing.

Beijing menafikan tuduhan penyalahgunaan malah menegaskan tindakan mereka di Xinjiang bertujuan memerangi ekstremisme.

Ramai etnik Uyghur melarikan diri dari China selama bertahun-tahun, dengan sebahagian mereka melalui Myanmar ke Thailand, tetapi puluhan akhirnya terperangkap dalam tahanan di situ — usaha yang dikatakan, kerajaan Thailand mahu mengelak menyinggung Beijing atau Washington.

Pakar PBB, yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkata seramai 23 daripada 48 Uyghur itu menghidap penyakit serius. - AFP

Disiarkan pada: Januari 23, 2025  sumber

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 09:59 AM GMT+8 , Processed in 0.179327 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list