Awang Tengah (empat kiri) menyerahkan resolusi kepada Abang Johari sambil disaksikan oleh Uggah (empat kanan), Dr Rundi (tiga kiri) dan barisan Exco Tertinggi PBB.
MIRI: Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara yang melibatkan 18 cawangan di sini hari ini, membentangkan 12 resolusi yang dipersetujui sebuat suara oleh lebih 1,000 perwakilan.
Resolusi yang dibentangkan oleh Naib Presiden Kanan PBB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom itu memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Premier Sarawak yang juga Presiden parti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan mengekalkan beliau sebagai Yang Dipertua Parti PBB tanpa dipertandingkan.
Resolusi itu juga mencadangkan agar kedua-dua Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan, dan kedua-dua Naib Presiden Kanan PBB Dato Seri Fadillah Yusuf dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan.
"Keempat, memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memastikan hak-hak istimewa Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, MA63 dan Laporan IGC dipatuhi.
"Iaitu penambahan bilangan kerusi bagi Sarawak dan Sabah kepada 35 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen Malaysia dan hak Sarawak ke atas Pelantar Benuanya dihormati oleh semua pihak termasuk syarikat-syarikat yang beroperasi di Sarawak.
"Kelima, memastikan bahawa status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepimpinan GPS dan Kerajaan Sarawak untuk kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan yang lestari serta memperkukuh perpaduan antara pelbagai etnik, agama dan budaya, demi memastikan masyarakat hidup aman, damai dan harmoni," kata Dr Rundi lagi.
Resolusi keenam ialah menyokong penuh rancangan kerajaan untuk menjadikan kawasan Utara Sarawak sebagai satu lagi kawasan jelapang padi, pusat penternakan dan akuakultur dan seterusnya penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport hasil pertanian menjelang tahun 2030.
Ketujuh, menggesa Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan di kawasan Utara, antaranya pembinaan Jalan Raya Pantai Utara (Northern Coastal Highway), Jalan Lintas Sabah-Sarawak termasuk menaik taraf jalan-jalan balak dan jambatan di pedalaman, membina Lapangan Terbang Lawas dan menaik taraf Lapangan Terbang Miri, Limbang dan di luar bandar, menaik taraf pelabuhan Miri, mempercepatkan pembaikan, menaik taraf, dan membina semula sekolah-sekolah, klinik-klinik, dan kemudahan berkaitan yang daif terutamanya di kawasan luar bandar dan memperluaskan liputan telekomunikasi, bekalan air bersih dan bekalan elektrik yang akan menjadi 'game changer' kepada pembangunan kawasan Utara Sarawak.
Kelapan, menjadikan kawasan utara sebagai hab pelancongan dengan memanfaatkan pengiktirafan Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah sebagai tapak warisan UNESCO, kepelbagaian budaya dan keindahan alam semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna termasuk Usun Apau, Gunung Buda dan Gunung Murud.
"Kesembilan, mendengar rintihan rakyat mengenai ketidakmampuan memiliki rumah, maka kita menggesa kerajaan untuk menambah projek perumahan Spektra dan mampu millk serta menambah peruntukan bagi pinjaman pembinaan rumah panjang.
"Kesepuluh, mengekalkan kehidupan beragama yang harmoni kita menyokong pemerkasaan peranan institusi keagamaan seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan UNIFOR," tambahnya.
Resolusi ke-11 ialah mempercepatkan pengambilalihan Affin Bank dan MASWings, diikuti resolusi ke-12 mencadangkan agar kerajaan terus memperkukuhkan kawasan utara, sebagai hab pengeluaran minyak dan gas Sarawak dan pembangunan Industri hiliran.
Resolusi yang dibentang oleh Dr Rundi tersebut kemudian diserahkan kepada presiden parti oleh Awang Tengah yang juga pengerusi jawatankuasa Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Utara.
|