Abang Johari menandantangani plak digital pada majlis perasmian Kejohanan Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah 19 Tahun anjuran Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) dan pembukaan rasmi Padang Kriket Borneo di Kuching hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Sarawak akan memastikan semua venue dan kemudahan sukan diuruskan dengan baik bagi menjayakan temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027 termasuk majlis perasmian yang dijadualkan berlangsung di bandar raya ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, beliau berterima kasih dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan kerana bersetuju memilih Kuching sebagai lokasi majlis perasmian temasya berprestij itu.
“Seperti yang anda tahu, kita telah mengadakan rundingan bersama kerajaan persekutuan.
Mereka meminta Sarawak untuk menjadi penaja bersama temasya Sukan SEA 2027 dan saya bersetuju serta mencadangkan agar majlis perasmian diadakan di Sarawak.
“Jadi, kita akan sibuklah dengan persiapan untuk Sukan SEA 2027 termasuk menguruskan venue serta kemudahan yang diperlukan di seluruh negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis perasmian Kejohanan Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah 19 Tahun anjuran Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) dan pembukaan rasmi Padang Kriket Borneo di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Penaung Persatuan Kriket Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Jaafar.
Sehubungan itu, Abang Johari menggesa agar atlet-atlet Sarawak yang akan menyertai Sukan SEA 2027 nanti terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sukan tersebut.
“Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet berharap agar anak-anak Sarawak khasnya dan Malaysia amnya mempunyai kehandalan sekali gus mencapai kecemerlangan pada temasya sukan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Abang Johari semasa majlis Malam Apresiasi SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada 28 Oktober lalu mengesahkan acara perasmian Sukan SEA 2027 diadakan di Kuching.
Beliau berkata, perkara berkenaan sudah dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semasa di Kuala Lumpur (Putrajaya), Perdana Menteri tanya saya bolehkah sama-sama menganjurkan Sukan SEA 2027?
“Saya pun bertanya berapa kos, lalu beliau maklumkan anggarannya dan saya kata okay, Sarawak akan tanggung 50 peratus daripada kos penganjuran. “Tetapi, kalau boleh perasmiannya diadakan di Sarawak dan Perdana Menteri pun bersetuju,” jelasnya.
Abang Johari berkata, persetujuan menjadi tuan rumah bersama menganjurkan temasya sukan tersebut sebagai satu pelaburan yang akan memberi kesan positif kepada rakyat negeri ini secara keseluruhannya.
|