Wee (dua kanan) bersama wakil dari STM Lottery Sdn Bhd menyampaikan hamper dan angpau kepada warga emas pada majlis tersebut.
KUCHING: Sektor swasta memainkan peranan penting dalam masyarakat menua, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.
Menurutnya, mewujudkan masyarakat penyayang dan prihatin kepada masyarakat menua bukan tugas kerajaan semata-mata, malah sektor korporat atau swasta dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Ia bukan soal berapa jumlah (sumbangan) yang mereka (masyarakat menua) terima, tetapi bagaimana anda menunjukkan betapa prihatinnya anda kepada mereka.
“Saya telah terlibat dengan aktiviti sumbangan seperti ini sejak menjadi Datuk Bandar, dan kita berterima kasih kepada syarikat swasta atau korporat yang semakin banyak tampil membantu warga emas terutama selepas COVID-19,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Sumbangan Angpau sempena Tahun Baharu Cina (TBC) Sports Toto Ke-38 oleh STM Lottery Sdn Bhd di Pertubuhan Membina Akhlak Che Hia Khor di sini, hari ini.
Wee berkata, malah sumbangan sedemikian memupuk nilai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat memandangkan ia juga diberikan kepada komuniti lain yang bukan menyambut perayaan TBC.
“Inilah yang berlaku di negeri ini dan kerajaan negeri telah menyediakan semua keperluan dari pelbagai aspek rakyatnya di mana setiap musim perayaan semua kaum akan diraikan tanpa mengira bangsa dan agama menerusi program seperti ini,” katanya.
Sementara itu, STM Lottery Sdn Bhd secara rasminya telah memulakan Kempen Sumbangan Angpau TBC Sports Toto Ke-38 iaitu satu inisiatif di seluruh negara yang bertujuan memberikan sokongan kepada lebih 19,000 warga emas yang kurang bernasib baik.
Kempen selama enam hari itu yang bermula pada 16 Januari 2025, diadakan di 50 bandar dan pekan, menyasarkan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang memerlukan bantuan.
Kuching merupakan salah satu daripada lokasi yang dipilih untuk kempen sumbangan berkenaan dan seramai 450 warga emas yang memerlukan menerima angpau dan hamper mini daripada STM Lottery Sdn Bhd.
Sejak dimulakan pada 1988, kempen amal oleh STM Lottery Sdn Bhd telah menyumbang lebih RM26.95 juta, memberi manfaat kepada lebih 474,550 orang tua yang memerlukan di seluruh negara.
Kempen ini diselaraskan dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) STM Lottery Sdn Bhd dan nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus melalui program 'Helping Hands' mereka.
Selain sumbangan perayaan, program itu juga memberi sokongan kepada pembangunan sukan negara dan pelbagai projek kemampanan sosial, termasuk tajaan sukan, inisiatif bank makanan dan kempen pemuliharaan alam sekitar.
|