Abang Johari (tengah) mengumumkan pengagihan dividen interim ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 melibatkan pembayaran sebanyak RM14.23 juta kepada 57,653 pelabur.
Pengagihan kali ketiga pascapenstrukturan semula ASSAR ini dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2024 sebanyak RM27.75 juta dengan lebihan pendapatan sebanyak RM13.52 juta.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa mengumumkan pengagihan dividen interim itu hari ini berbangga kerana ASSAR terus mempamerkan peningkatan prestasi secara konsisten sejak penstrukturan semula Tabung ASSAR pada penghujung 2022.
Pada tahun lepas katanya, beliau telah mengumumkan dua agihan dividen bagi Tabung ASSAR iaitu dividen interim sebanyak 2.5 sen seunit yang melibatkan jumlah agihan sebanyak RM11.7 juta pada 5 Januari 2024.
Manakala pada 5 Julai 2024, ASSAR mengumumkan dividen akhir sebanyak 3.5 sen seunit melibatkan jumlah agihan RM16.4 juta menjadikan jumlah keseluruhan dividen ASSAR sebanyak 6.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 di mana sebanyak RM28.1 juta diagihkan kepada pelabur.
“Sungguhpun selepas dua kali agihan tersebut, Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR terus mencatatkan peningkatan secara konsisten sehingga mencecah hampir RM1.14 seunit pada 31 Disember 2024, pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus berbanding RM1.09 seunit pada separuh pertama tahun kewangan sebelumnya.
“Oleh itu bagi mengimbangi kenaikan NAB dan harga jualan ASSAR, pihak Syarikat Pengurusan ASSAR dengan persetujuan Pemegang Amanah iaitu AmanahRaya Trustees Berhad telah bersetuju untuk membuat agihan dividen interim bagi tahun kewangan semasa.
“Memandangkan Tabung ASSAR telah berjaya mengekalkan prestasi yang memuaskan, maka dengan sukacitanya saya mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025,” katanya pada pengumuman dividen di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini.
Abang Johari turut menyatakan rasa bangga kerana ASSAR terus berjaya memberikan hasil dividen yang kompetitif dengan portfolio ekuiti mengekalkan peranan penting dalam memacu prestasi tabung.
Di samping pengagihan dividen yang kompetitif, Abang Johari turut menekankan ASSAR merupakan satu instrumen pelaburan yang selamat dan berisiko rendah dengan adanya mekanisme jaminan harga minimum RM1.00 seunit yang merupakan ciri utama ASSAR sejak tahun 1998.
“Alhamdulillah, ASSAR masih berdaya tahan untuk terus memenuhi objektifnya dan saya berkeyakinan pihak pengurusan ASSAR akan melakukan yang terbaik untuk mengharungi segala cabaran yang mendatang.
“Saya juga percaya Pengurus Dana ASSAR akan terus berwaspada dalam memantau keadaan pasaran dan menyesuaikan strategi pelaburan untuk memastikan pertumbuhan dan pulangan jangka panjang yang mampan bagi Tabung ASSAR,” katanya.
Abang Johari turut menyeru para pelabur agar terus memberikan sokongan dan melabur di dalam ASSAR kerana sokongan berterusan penting bagi memastikan kelestarian ASSAR dalam jangka panjang.
“Matlamat ASSAR adalah sinonim dengan fokus Sarawak Maju Makmur 2030 iaitu untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat Sarawak, khususnya kaum Bumiputera dan membasmi keadaan miskin tegar, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Maka bersama-samalah kita berganding bahu membina masa depan yang lebih cerah dan makmur untuk negeri kita dan rakyatnya,” tambahnya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Saferi Ali dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR Dato Sri Wahab Dolah.
|