CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 22774|Reply: 0

[Sarawak] 8,135 penerima bantuan JKM dapat sumbangan TBC berjumlah RM813,500

[Copy link]
Post time 19-1-2025 01:10 AM | Show all posts |Read mode


Fatimah (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Rosey dan Tony (dua kiri) serta tetamu kehormat yang lain pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina di Miri, pagi tadi.

MIRI: Seramai 8,135 orang atau 14 peratus daripada jumlah penerima bantuan di negeri ini akan menerima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina 2025, dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM813,500.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu 836 orang merupakan penerima di bahagian Miri.

"Pun begitu, hanya 150 orang penerima telah dijemput dan diraikan pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2025 hari ini.

"Manakala bagi 686 orang penerima yang tidak berpeluang hadir, sumbangan RM100 yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dikreditkan terus ke akaun mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2025 anjuran Hotel Dynasty dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri di pekarangan hotel berkenaan pagi tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Pengarah JKM Sarawak Noorhayati Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Hotel Dynasty Tony Pui.

Menurut Fatimah, program anjuran JKM Sarawak ini telah menjadi tradisi selama lebih 20 tahun dan bertujuan meringankan beban golongan memerlukan sempena musim perayaan.

"Setiap penerima sumbangan yang hadir pagi ini akan menerima wang tunai RM100 daripada JKM dan bakul makanan bernilai RM150 sumbangan pihak hotel.

"Program Sejambak Kasih ini bukan sekadar menyampaikan bantuan tetapi juga lambang perpaduan dan solidariti rakyat Sarawak," ujar beliau lanjut.

Sementara itu, Tony ketika berucap pada majlis tersebut memberitahu bahawa pihaknya telah membelanjakan RM22,500 untuk menyediakan 150 bakul makanan untuk disumbangkan kepada 150 penerima terbabit.

"Berdasarkan tanggungjawab korporat untuk 'mengambil daripada masyarakat dan menyumbang semula kepada masyarakat', hotel kami telah menganjurkan acara sumbangan ini sejak tahun 2001 dan kini memasuki tahun ke-25.

"Kerjasama dengan JKM Miri telah bermula sejak 2003, menjadikan ini tahun yang ke-23 kami bekerjasama menganjurkan majlis serupa sebanyak tiga kali setahun iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Hari Gawai Dayak," katanya.

Sehubungan itu, Tony berharap para penerima sumbangan tidak menilai nilai barangan atau wang yang diterima, sebaliknya menghargai keprihatinan kerajaan dan komuniti prihatin yang sentiasa menghulur sumbangan kepada mereka.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2025 02:01 PM GMT+8 , Processed in 0.204092 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list