Mesin dandang meletup akibatkan kebakaran besar di kilang pita
Oleh Nur Izzati Mohamad - Januari 17, 2025 @ 8:15pm[email protected]
Keadaan kilang pita di Kawasan Perindustrian Prai yang terbakar dan mengeluarkan kepulan asap hitam tebal. - Foto ihsan pembaca
BUTTERWORTH: Sebuah kilang pita di Kawasan Perindustrian Prai, di sini terbakar sehingga mengeluarkan kepulan asap hitam tebal, petang tadi.
Difahamkan, insiden kira-kira jam 4.40 petang itu dipercayai berlaku susulan mesin dandang atau 'boiler' di kilang berkenaan yang meletup dan mencetuskan kebakaran besar.
Anggota bomba dan penyelamat termasuk bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan.
Setakat ini, mereka masih berada di lapangan untuk kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api.
Usaha pemadaman dijalankan dengan menggunakan jentera 'water tanker' termasuk kren milik bomba sukarela.
Ketika kejadian, dikatakan terdapat kira-kira 80 pekerja yang berada di dalam pejabat dan tapak kilang berkenaan, sebelum semua mereka diarahkan keluar untuk menyelamatkan diri.
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan kejadian kebakaran terbabit yang mencemaskan pengguna jalan raya dekat situ selepas melihat kepulan asap hitam tebal di ruang udara kilang berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1350691/mesin-dandang-meletup-akibatkan-kebakaran-besar-di-kilang-pita
|