Jitra: Sebelum ini, Azniza Ahmad, 46, banyak berkorban membantu suami membesarkan empat anak masih bersekolah selain menjaga ibunya yang hilang sebelah kaki akibat kencing manis.
Namun segalanya berubah sekelip mata apabila dia pula disahkan menghidap kanser payu dara menyebabkan Azniza dihentikan kerja oleh sebuah syarikat swasta.
Apa yang berlaku itu diterima dengan berat hati berikutan majikan tidak memahami situasi dihadapi apabila Azniza terpaksa berulang alik dan bercuti untuk menjalani rawatan di hospital.
Kini dia terpaksa bergantung harap pada suami, Mohd Nazri Sulaiman, 46, yang hanya bekerja sebagai tukang kebun sekolah secara kontrak.
"Anak sulung berusia 18 tahun kini menuntut di Universiti Selangor manakala pasangan kembar berusia 14 tahun dan seorang lagi anak berusia 12 tahun masih bersekolah.
"Disebabkan tidak bekerja, saya tidak mempunyai wang untuk membayar kos rawatan serta ulang alik ke Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar di Perlis dan Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini Kampung Pering, Padang Sera, Kodiang, di sini, tadi.
Azniza berkata, dia dikesan menghidap kanser pada tahun 2023 selepas wujud benjolan di bawah ketiak .
"Saya kemudian menjalani ujian memogram sebelum disahkan menghidap kanser payu dara.
"Susulan itu saya terpaksa menjalani pembedahan segera membuang benjolan di payu dara kiri pada 20 November 2023 di HTF, Kangar. Saya turut selesai menjalani rawatan kemoterapi iaitu tiga kali di HTF dan tiga kali di HPP.
"Sejak itu jugalah suami tidak dapat bekerja hampir setahun disebabkan terpaksa membawa saya ke hospital hinggakan kami tidak mampu membayar bil elektrik dan air serta menyara kehidupan keluarga," katanya.
Katanya, dia kini hanya bergantung pada bantuan bulanan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 sebulan untuk menyara keluarga.
"Pendapatan suami pula tidak menentu dan anak-anak pula sedang belajar. Kami turut perlu menjaga ibu, Robiah Abdullah, 67, yang terpaksa dipotong kaki kanan pada Jun tahun lalu akibat kencing manis dan terlantar di atas katil.
"Saya buntu memikirkan cara mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan susulan apatah lagi hidup dalam keadaan miskin," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam miliknya 02123020060070 atas nama Azniza Ahmad.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi pesakit itu semalam turut menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur kepadanya.