Warga membawa ular sawa sepanjang enam meter yang menggigit dan membelit Marwah. Foto Agensi
POLEWALI MANDAR - Seorang remaja perempuan nyaris terbunuh selepas digigit dan dibelit seekor ular sawa sepanjang enam meter.
Kejadian berlaku selepas remaja terbabit, Marwah, 15, pulang daripada kebun bersama ibunya.
Sepupu mangsa, Ayub, berkata, Marwah mengalami kecederaan serius pada bahagian paha dan kini sedang menerima rawatan di rumah.
“Sedang berjalan, tiba-tiba (Marwah) diserang ular sawa yang menyorok di semak-samun.
“Luka di betis agak parah... terkoyak hingga isi (daging) betis terkeluar. Kalau bersendirian (Marwah tidak bersama ibu) mungkin tidak selamat,” katanya ketika dihubungi agensi pada Isnin.
Menceritakan detik kejadian, Ayub memberitahu bahawa ular sepanjang enam meter sempat melilit seluruh tubuh gadis berkenaan.
Disebabkan perkara itu, Ayub berkata, ibu mangsa turut tercedera selepas cuba untuk melepaskan gigitan ular di paha Marwah.
“Tangan ibunya juga luka kerana sewaktu ular itu melilit tubuh... dia (ibu Marwah) berusaha untuk membuka mulut ular itu agar ia tidak lagi menggigit paha anaknya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, dia memaklumkan ular tersebut berjaya ‘ditumpaskan’ selepas ibu mangsa meminta bantuan penduduk kampung.
Jelas Ayub, kejadian itu telah menyebabkan penduduk di Dusun Tanete, Desa Lenggo, Kecamatan Bulo bergegas ke lokasi dengan membawa parang.
“Tidak lama kemudian, penduduk kampung datang untuk menolong dengan ‘menebas’ ular itu menggunakan parang.
“Saat ini (Marwah) masih dirawat di rumah. Semalam mahu dibawa ke pusat kesihatan masyarakat (Pukesmas) tetapi disebabkan lukanya kerap berdarah apabila ada pergerakkan, maka dia dirawat di rumah dahulu.” jelasnya. - Agensi
|