Pengawai Pantai Filipina menunjukkan gambar kapal pengawal pantai China yang didakwa semakin mendekati perairan Filipina. - Foto AFP
MANILA: Filipina hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap rondaan kapal pengawal pantai China yang didakwa semakin mendekati pantai negara itu.
China mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan sebagai miliknya walaupun terdapat keputusan antarabangsa yang menegaskan tuntutan berkenaan tidak mempunyai asas undang-undang.
Filipina menyifatkan penempatan kapal pengawal pantai China yang digelar sebagai 'raksasa' baru-baru ini sebagai demonstrasi tindakan agresif yang semakin meningkat oleh China di kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu.
"Ia semakin mendekati pantai Filipina dan ia membimbangkan," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Jonathan Malaya, kepada wartawan hari ini.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Filipina, Jonathan Malaya, berkata kapal pengawal pantai China semakin mendekati pantai Filipina dan itu sangat membimbangkan.
"Kapal berkenaan dikerahkan untuk lebih dekat ke pantai Filipina tahun ini dan pergerakan terbaharu itu adalah taktik intimidasi yang bertujuan menghalang aktiviti perikanan nelayan Filipina.
"Kami tidak akan melayan taktik menakut-nakutkan itu dengan berundur. Kami tidak gentar atau berasa takut menghadapi intimidasi," katanya.
Kapal 'raksasa' sepanjang 165 meter itu kali terakhir dikesan berada 143 kilometer di barat Pulau Capones, di wilayah Zambales, Filipina.
Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Jay Tarriela, berkata kapal berkenaan tidak melakukan tindakan agresif yang ketara, tetapi kehadirannya sahaja sudah cukup membimbangkan.
"Pengawal Pantai Filipina pula mengerahkan kapal sepanjang 84 meter dan 97 meter untuk memberi tekanan kepada kapal China berkenaan supaya bergerak lebih jauh dari pantai Zambales.
"Kapal ronda China mendekati sejauh 111 kilometer di barat pulau utama Luzon, Filipina, tahun ini," katanya - AFP
|