Kemusnahan teruk di Pacific Palisades Bowl Mobile Estates yang musnah dalam kebakaran pada minggu lalu.
LOS ANGELES - Pasukan bomba pada Selasa bergelut dengan tiupan angin kencang yang dikhuatiri akan memburukkan lagi kebakaran hutan yang telah memusnahkan seluruh kawasan kejiranan di Los Angeles dan membakar kawasan hampir menyamai keluasan Washington.
Peramal kaji cuaca memberi amaran 'angin syaitan' atau Santa Ana kembali mengancam bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu pada minggu ini ketika usaha mengawal api terus dipergiatkan.
Santa Ana yang membawa angin panas dan kering bertiup dari timur laut dipercayai menjadi antara punca kebakaran yang terus merebak dan sukar dikawal pada minggu lalu.
Sebagai persediaan menghadapi Santa Ana, amaran bendera merah merujuk kepada situasi yang sangat berbahaya telah dikeluarkan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) Los Angeles.
“Angin yang mempunyai kekuatan seperti hurikan itu boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 120 kilometer sejam. Tetapi, ia dijangka tidak sekencang pada minggu lalu,” kata ahli meteorologi NWS, David Roth.
Sejak akhir minggu lalu, lebih 8,500 anggota bomba berhempas-pulas mengawal api daripada terus merebak dari luar bandar tersebut.
Difahamkan, pasukan itu turut ditempatkan di kawasan terdedah termasuk di beberapa daerah California Selatan. - Agensi
|