FACEBOOK Mauro Morandi.
Rome: Lelaki hidup terpencil di pulau Mediterranean selama lebih 30 tahun meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun selepas kembali kepada kehidupan bertamadun.
Mauro Morandi digelar 'Robinson Crusoe' oleh media setelah menjadi penghuni tunggal di pulau Budelli iaitu bekas tempat perlindungan Perang Dunia Kedua berhampiran pulau Sardinia di Itali.
Pada 1989, Morandi yang meninggal dunia pada usia 85 tahun, mula menjadi penjaga tunggal pulau berkenaan selepas kapalnya karam ketika dalam misi berlayar ke Polinesia untuk menjauh konsumerisme dan masyarakat secara keseluruhan.
Kebetulan ketika terkandas di pulau itu, penjaga Budelli sebelumnya hampir bersara dan Morandi mengambil alih 'pekerjaan' berkenaa serta tinggal bersendirian di rumah yang diperbuat daripada batu karang, granit dan cengkerang selama tiga dekad.
Dia diusir pihak berkuasa Itali pada 2021 apabila Itali menjadikan pulau itu sebagai taman marin semula jadi.
Sepanjang 32 tahun di pulau terbabit, dia menjaga kebersihan pantai dan mendidik pelawat harian mengenai ekosistem pulau itu, malah memasang sistem kuasa solar buatan sendiri.
Pihak berkuasa memindahkan Morandi ke La Maddalena, bandar kepulauan di luar Sardinia di mana dia tinggal di sebuah apartmen satu bilik.
"Ia tidak pernah benar-benar berakhir. Saya adalah bukti hidup yang memungkinkan kehidupan kedua yang baharu.
"Anda sentiasa boleh memulakan semula, walaupun anda berusia lebih 80 tahun, kerana ada perkara lain boleh anda alami, dunia yang sama sekali berbeza," kata Morandi kepada CNN dalam temubual pada 2021 selepas meninggalkan pulau didiaminya.
Menurut laporan media Itali, Morandi memasuki rumah penjagaan di bandar Sassari, Sardinia, selepas terjatuh pada musim panas lalu.
Dia dilaporkan meninggal dunia hujung minggu lalu di Modena selepas kesihatannya merosot.
Disiarkan pada: Januari 14, 2025
|