Nona, 22, yang digelar sebagai Akak Skuter bersama kenderaan yang digunanya untuk berulang alik untuk bekerja di Singapura. Ihsan akak skuter
JOHOR BAHRU: "Saya ikhlas membantu dengan sedikit ilmu asas sokongan hidup dan pertolongan cemas yang pernah dipelajari, tak sangka pula video pertolongan diambil orang awam tular," kata seorang pembantu jualan dari Skudai di sini, yang digelar sebagai Akak Scooter.
Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nona, 22, berkata dia terharu dan sebak apabila ramai pengguna media sosial mendoakan pertolongan yang diberikannya tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama itu, dibalas dengan kebaikan dan kebahagiaan hidup.
Malah katanya, beliau juga terharu apabila ramai pengguna media sosial menggelarkan dirinya sebagai #akakscooter serta mahu mengesan dirinya selepas video pertolongannya itu tular.
"Saya sebak baca semua komen pengguna media sosial susulan video pertolongan diberikan yang diambil orang awam yang juga pekerja Malaysia di Singapura, tular.
"Doa-doa dan kata perangsang orang ramai itu mahal dan amat saya hargainya.
"Saya tidak sedar ada yang merakam video kerana sibuk membantu dua mangsa kemalangan di Lebuhraya Link Kedua di Tanjung Kupang, Gelang Patah, yang mengalami kecederaan agak parah dan berlumuran darah.
Tanpa menghiraukan darah yang berlumuran, Nona tetap membantu seorang warga emas yang cedera akibat nahas dekat tol Tanjung Kupang "Saya hanya menjalankan tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan apatah lagi pernah belajar kursus asas sokongan hidup dan pertolongan cemas ketika bekerja sebagai penyelamat di sebuah taman tema sebelum ini," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.
Menceritakan insiden kemalangan yang berlaku itu, Nona berkata, kejadian itu sebenarnya berlaku pada 8 Januari lalu kira-kira jam 6.40 petang.
Ketika itu beliau baharu melepasi Plaza Tol Tanjung Kupang selepas selesai bekerja di Singapura dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Skudai.
Namun katanya, kira-kira 500 meter daripada plaza tol itu beliau melihat ramai penunggang motosikal yang juga dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing berhenti di tepi lebuh raya berkenaan.
"Ketika itu saya memperlahankan motosikal yang ditunggang sebelum ternampak dua orang lelaki termasuk seorang warga emas yang berlumuran darah terbaring di atas lebuh raya.
"Saya terus menghentikan motosikal di tepi lebuh raya sebelum mengeluarkan kain bersih dari kotak simpanan bagi menekap kecederaan warga emas berusia 68 tahun yang juga rakyat Singapura dan seorang lagi lelaki dalam lingkungan 50-an rakyat tempatan, yang cedera parah dipercayai terjatuh selepas berlanggar sesama sendiri.
"Penunggang motosikal lain memberi saya ruang membantu dua mangsa tercedera selepas mengetahui saya mempunyai sedikit ilmu asas sokongan hidup dan pertolongan cemas.
"Warga emas itu mengalami pendarahan agak parah apabila tulang di bahagian sikunya terkeluar menyebabkan saya menekap tempat pendarahan supaya dia tidak kehilangan darah lebih banyak," katanya.
Nona berkata, penunggang motosikal lain turut membantu termasuk memberikan kain bersih selain tali bagi mengikat tempat pendarahan kedua-dua mangsa.
Katanya, beliau membantu mangsa dan menunggu bersama mereka antara 20 hingga 30 minit sebelum ambulans tiba bagi merawat mangsa.
"Saya kemudian meneruskan perjalanan pulang seperti biasa apatah lagi malam itu kami sekeluarga meraikan ulang tahun ayah yang ke-56.
"Ketika sedang makan malam bagi meraikan ayah, suami saya memaklumkan kawan-kawan terdekatnya berkongsi video tular berkenaan sebelum meminta pengesahan sama ada saya yang membantu dua mangsa kemalangan itu.
"Pada waktu itulah baru saya sedar, ada yang merakam tindakan saya membantu dua mangsa kemalangan itu," katanya.
|