Anggota bomba dari Mexico mendengar taklimat sebelum membantu memerangi kebakaran hutan yang melanda California Selatan. - Foto REUTERS
LOS ANGELES: Pegawai bomba Amerika Syarikat (AS) semalam, memberi taklimat kepada 72 anggota bomba dari Mexico, sebelum berangkat membantu usaha memadamkan kebakaran hutan di California Selatan.
Ia terdiri daripada pakar tentera, termasuk doktor, jurutera, pasukan mencari dan menyelamat serta sekumpulan anggota bomba dari badan setara dengan Perkhidmatan Hutan AS di Mexico.
Kebakaran hutan di Los Angeles sejak minggu lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 mangsa dan menjejaskan kawasan seluas Washington.
Lebih 90,000 penduduk terpaksa melarikan diri dan seluruh kawasan kejiranan musnah terbakar.
Pasukan Mexico akan bergabung dengan anggota bomba dari tujuh negeri dan Kanada untuk berusaha mengawal kebakaran itu.
Pegawai maklumat awam Cal Fire, Edwin Zuniga, berkata mereka kini ditugaskan ke lokasi kebakaran dan pada asasnya bekerja sebagai 'handcrew', iaitu pasukan terdiri daripada anggota bomba hutan tetap dan sementara.
Beliau berkata, tempoh penempatan anggota bomba Mexico belum dipastikan, selain menjelaskan ia mungkin selama seminggu atau berlarutan hingga tiga minggu.
"Mereka akan membina kawasan pembendungan, mengukuhkan garis penahanan dan terbabit secara langsung dalam usaha memadamkan api, jika perlu," katanya.
Sementara itu, anggota bomba dari Batalion Tindak Balas Kecemasan Tentera Mexico, Ivan Lorenzo Garcia, berkata pihaknya memiliki pasukan khas dan ke sana untuk membantu, memberi bantuan kepada orang ramai, sebaik mungkin. - REUTERS
|