Kota Tinggi: "Mereka memang suka memancing dan akan berjumpa untuk luangkan masa memancing bersama bila hari cuti."
Begitu kata Lee, 50, kenalan kepada tiga rakan yang maut apabila pacuan empat roda yang dinaiki
dihanyutkan ke kolam takungan banjir di ladang kelapa sawit di Ulu Sedili, di sini, petang semalam.
Menurutnya, ketiga-tiga rakannya memiliki hobi yang sama dan selalu menghabiskan masa bersama-sama dengan melakukan aktiviti memancing terutama pada hari cuti.
"Difahamkan, memandangkan sekarang musim monsun dan tidak sesuai memancing di laut, mereka dikatakan masuk ke kawasan ladang itu untuk memancing.
"Difahamkan, mereka tidak tahu kawasan ladang itu dinaiki air. Saya sendiri pun takut lihat video tempat kejadian yang ditunjukkan kawan. Air sangat tinggi... memang menakutkan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam kemalangan itu, tiga rakan dikenali sebagai Lee Fook Wan, 48, Lee Choy Yeow, 49, dan Leong Kon Fatt, 72, lemas selepas kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit sebelum dibawa arus.
Menurutnya, jasad mendiang Fook Wan dibawa pulang ke Taman Melawati, Skudai dan jasad mendiang Choy Yeow pula dibawa ke Taman Putri Wangsa.
Manakala, jasad mendiang Kon Fatt akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur untuk urusan pengebumian.
Ahli keluarga mangsa enggan ditemubual kerana masih bersedih.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, kesemua mangsa yang maut bukan korban banjir, sebaliknya ia adalah insiden kemalangan.