Seorang lelaki maut manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di Kilometer (KM) 28.7 Lebuhraya Senai-Desaru di sini semalam. - Foto ihsan pembaca.
PASIR GUDANG: Seorang lelaki maut manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di Kilometer (KM) 28.7 Lebuhraya Senai-Desaru di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Sohaimi Ishak berkata, kemalangan kereta jenis Volksawagen Polo HB dan lori Isuzu dipercayai berlaku jam 2.30 petang.
Katanya siasatan awal mendapati kereta berkenaan yang dinaiki dua lelaki warga tempatan dalam perjalanan dari Kangkar Pulai menghala ke Felda Air Tawar 4.
"Setibanya ke lokasi, pemandu berkenaan hilang kawalan sehingga kereta yang dipandu berpusing, dan terlanggar bahagian belakang sebuah lori (lori ligid kargo am) yang berada dalam keadaan statik di bahu jalan melakukan kerja-kerja pembaikan besi penghadang jalan.
"Akibat perlanggaran itu penumpang kereta iaitu lelaki warga tempatan berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, dua lelaki warga tempatan iaitu pemandu kereta dan seorang pekerja kerja-kerja pembaikan mengalami kecederaan ringan.
"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini bagi menerima rawatan.
"Orang ramai dinasihati sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memandu kenderaan dengan berhati-hati terutamanya ketika cuaca hujan dan jalan licin.
"Kurangkan kelajuan dan elakkan brek kenderaan secara tiba-tiba selain jaga jarak selamat antara kenderaan. Orang ramai yang memiliki sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada pihak polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian.
|