Alor Setar: Tiada lagi senyuman dan suara keriangan didengar sejak Che Umar Rais Che Fairollah yang dulunya aktif dan petah bercakap terlantar sakit.
Lebih menyedihkan, sudah lebih 120 hari kanak-kanak berusia empat tahun itu berjuang dan bergantung dengan alat bantuan pernafasan.
Keadaan yang dialami Umar itu disebabkan dia lemas akibat terjatuh di dalam kolam ketika bercuti dengan ibunya, Nurul Izzati Barni, 30, di sebuah inap desa, dekat sini.
Penderitaan Umar dapat dilihat menerusi perkongsian gambar dan video dimuat naik Nurul Izzati di TikTok menunjukkan keadaan anak bongsunya hingga meruntun hati warganet.
Menyingkap kisah itu, Nurul Izzati dari Taman Dahlia di sini berkata, Umar dilahirkan normal dan sempat bersekolah tadika apa yang berlaku menyebabkan anaknya itu terlantar.
UMAR ketika menerima rawatan, gambar kanan Umar ketika masih sihat. FOTO Ihsan Nurul Izzati Barni
"Insiden berlaku ketika saya bercuti bersama rakan dengan membawa Umar bersama.
"Umar terjatuh dalam kolam mandi dan lemas. Saya terjun selamatkannya dan beri bantuan pernafasan awal sebelum membawanya ke hospital," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Nurul Izzati, doktor memberitahu nadi Umar terhenti namun dengan kuasa Allah SWT, anaknya itu kembali bernafas empat minit kemudian sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
Katanya, selama 19 hari Umar ditempatkan di PICU sebelum dipindahkan ke wad separa kritikal Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini sehingga sekarang.
"Bila diberitahu doktor yang Umar kritikal ketika awal dulu memang sedih, begitu juga suami (Che Fairollah Che Mezam, 40).
"Saya reda cuma sebagai ibu memang mengharap anak bangun dan sepanjang Umar terlantar, saya bisik di telinganya minta dia kuat kerana saya menunggunya.
"Selepas Umar dipindahkan dari PICU ke wad separa kritikal, saya boleh nampak perubahannya kerana pernah bercakap di telinganya kemudian nampak air matanya (Umar) berlinang dan tangannya menggenggam erat tangan saya seolah tak nak lepaskan," katanya yang mempunyai dua lagi cahaya mata berumur 11 dan 10 tahun.
GAMBAR kenangan Umar bersama bapanya, Che Fairollah. FOTO Ihsan Nurul Izzati Barni
Nurul Izzati berkata, selain suami, kekuatannya datang daripada Umar sendiri dan dia tiada pilihan melainkan kuat kerana tidak boleh menunjukkan dirinya lemah di hadapan anaknya itu.
Katanya, sejak empat bulan lalu, rutin hariannya adalah ke HSB untuk menjaga, menemani dan menguruskan Umar.
"Suami pun selalu pergi bila ada kelapangan walaupun dia bertugas sebagai anggota polis cuma sekarang saya seorang kerana dia kini mengerjakan umrah di Tanah Suci serta ke sana dengan niat nak doakan Umar di depan Kaabah.
"Baru-baru ini, saya ada kongsi kisah Umar di TikTok dan niat sebenarnya adalah nak minta doa daripada orang ramai tapi ada juga yang menyumbang.
"Menurut doktor, kalau Umar bangun semula nanti keadaannya tak macam kanak-kanak lain, tapi bagi saya, memadai jika dia boleh buka mata, senyum dan saya dapat tengok wajah serta menyentuhnya kerana sampai ke hari ini, saya rasa bersalah dengan apa yang berlaku terhadapnya," katanya.
Buat masa ini, Nurul Izzati tidak bekerja dan suaminya menanggung perbelanjaannya sekeluarga termasuk membeli segala keperluan buat Umar.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 152095967027 atas nama Nurul Izzati Barni.