KANAK-KANAK 12 tahun melecur tahap dua disimbah air panas. FOTO WALB
Atlanta: Gurauan melampau tiga kanak-kanak dan remaja di Georgia, Amerika Syarikat dengan menyiram air panas kepada rakan mereka membawa padah apabila mangsa yang berusia 12 tahun melecur tahap dua.
Ibu mangsa, Tiffany West, memberitahu saluran berita tempatan WALB10, kejadian itu berlaku semasa menginap di apartmen jiran di Tifton County.
Katanya, anaknya sedang tidur ketika rakannya itu yang dilaporkan sedang bermain permainan video, didakwa menyiram air panas ke mukanya.
"Dia dibawa ke pusat pembakaran di Augusta. Dia terpaksa menjalani pembedahan.
"Anak saya kini sedang menjalani proses pemulihan di rumah, tetapi ia akan mengambil masa 12 hingga 14 hari untuk sembuh," katanya.
Sebagai ibu katanya, hatinya hancur mengetahui anaknya menjadi mangsa gurauan melampau itu, malah keluarga mereka masih terkejut dengan insiden itu.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Nachelle Austille berkata, mereka tidak menyangka perkara seperti itu berlaku kepada anak saudaranya.
"Abang saya dan Tiffany tidak bekerja sejak kejadian kerana ingin menjaga anak mereka semasa proses pemulihan.
"Secara mental, anak itu perlu mendapatkan kaunseling," katanya.
Polis mengesahkan, tiga kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 15 tahun itu didakwa mencederakan rakan mereka di sebuah rumah di Tifton County sebelum dibebaskan.
Tidak jelas apakah pertuduhan itu. Kanak-kanak lelaki itu sedang menunggu perbicaraan pertama mereka yang dijangka berlangsung bulan depan.
|