LONDON: Kerajaan Britain mendakwa membuat dan menyebarkan 'deepfake' atau palsu tulen berunsur lucah akan menjadi satu kesalahan jenayah di negara itu.
Difahamkan perkara itu adalah usaha Britain untuk menangani peningkatan mendadak dalam penyebaran imej yang memaparkan deepfake yang kebanyakannya menyasarkan wanita dan gadis.
Deepfake adalah video, gambar atau klip audio yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) sehingga kelihatan seperti tulen.
Teknologi berkenaan boleh digunakan untuk mengubah imej pornografi secara digital supaya menyerupai seseorang.
Penerbitan foto atau video intim tanpa kebenaran dengan niat untuk menyebabkan tekanan emosi yang dikenali sebagai pornografi dendam dikategorikan sebagai jenayah di Britain pada 2015, namun undang-undang itu tidak meliputi penggunaan imej palsu.
Data daripada Revenge Porn Helpline yang berpusat di United Kingdom (UK) menunjukkan penyalahgunaan imej berasaskan deepfake meningkat lebih daripada 400 peratus sejak 2017.
Di bawah kesalahan baharu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Britain itu, pelaku boleh didakwa dan menghadapi pendakwaan kerana membuat dan menyebarkan imej seperti itu.
Kementerian Keadilan dalam satu kenyataan berkata, tiada alasan untuk mencipta deepfake berunsur lucah seseorang tanpa kebenaran individu itu.
Kerajaan Konservatif sebelum ini, yang kehilangan kuasa kepada Parti Buruh pada Julai lalu, mengumumkan rancangan serupa untuk menjadikan deepfake berunsur lucah sebagai kesalahan jenayah.
Di bawah cadangan terbabit, pesalah boleh dikenakan denda dan juga hukuman penjara.
Kementerian Keadilan berkata, butiran lanjut mengenai kesalahan baharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Kerajaan juga merancang untuk mewujudkan kesalahan baharu bagi mengambil gambar intim tanpa kebenaran dan pemasangan peralatan dengan niat untuk melakukan kesalahan terbabit.
Mereka yang didapati bersalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Menteri Teknologi, Margaret Jones, berkata platform teknologi yang menjadi pusat kepada imej penyalahgunaan akan dikenakan pemantauan lebih ketat dan penalti yang signifikan.
Aktivis, Jess Davies berkata, penyalahgunaan imej intim adalah darurat nasional yang menyebabkan kemudaratan serius dan berkekalan kepada wanita dan gadis, yang kehilangan sepenuhnya kawalan terhadap jejak digital mereka akibat kebencian terhadap wanita secara dalam talian.
Kesalahan baharu itu akan dimasukkan dalam rang undang-undang jenayah dan kepolisan kerajaan, yang akan dibentangkan di parlimen. Tarikh pembentangan bagaimanapun masih belum ditetapkan. - REUTERS
|