Alor Setar: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan 196 etnik Rohingya yang 'mendarat' di Langkawi kini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik dekat Sik.
Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzuan Mohd Zain berkata, warga asing terbabit tiba di perairan Langkawi dengan menaiki sebuah tongkang, manakala dua tongkang lagi berjaya diusir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Satu tongkang berkenaan membawa 196 orang berjaya tiba di Langkawi, manakala dua bot lagi dihalang memasuki perairan negara oleh APMM.
"Kesemua etnik Rohingya berkenaan dilakukan proses dokumentasi dan dihantar ke Depoh Imigresen Belantik," katanya ketika dihubungi The New Straits Times, hari ini.
Katanya, dua bot yang diusir berkenaan dikatakan mendarat di Aceh, Indonesia dan JIM sedang menjalankan siasatan lanjut.
"Mereka (etnik Rohingya) bakal berdepan tindakan undang-undang, dan jika didapati bersalah akan dihantar ke penjara sebelum dihantar kembali ke negara asal sebaik tamat hukuman.
"Isu sekarang adalah ke mana kita mahu hantar mereka? Sehingga masalah selesai, kita akan menyediakan tempat perlindungan buat mereka," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kumpulan etnik Rohingya yang menaiki sebuah tongkang mendarat di Pantai Teluk Yu berhampiran Ayer Hangat, Langkawi, kira-kira 3 pagi Jumaat lalu.
Pada keesokkannya, dua tongkang lain dipercayai membawa 300 etnik Rohingya diusir APMM apabila dikesan cuba memasuki perairan negara dan dilaporkan mendarat di Aceh, semalam.