Trudeau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pemimpin baharu dipilih. - Foto REUTERS
OTTAWA: OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mengumumkan peletakan jawatannya semalam dan menyatakan beliau akan melepaskan jawatan sebaik sahaja partinya memilih pemimpin baharu.
Keputusan terbabit dilakukan susulan penurunan sokongan dalam tinjauan pendapat dan perpecahan dalaman parti.
Dalam sidang media Trudeau bagaimanapun berkata, beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pemimpin baharu dipilih.
"Negara ini berhak mendapat pilihan lain pada pilihan raya akan datang," katanya dalam sidang media yang disiar BBC.
Jelas pemimpin berusia 53 tahun itu, keputusan meletak jawatan dibuat selepas perbincangan panjang dengan keluarganya.
Selepas lebih sembilan tahun memegang tampuk kuasa, sokongan terhadap Trudeau dalam Parti Liberal mula merosot pada 2024 akibat kritikan awam yang semakin meningkat terhadap kenaikan kos sara hidup.
Pemerintahannya turut terjejas dengan peletakan jawatan mengejut oleh Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, Chrystia Freeland, Disember lalu.
"Saya bercadang untuk meletak jawatan sebagai ketua parti serta sebagai Perdana Menteri, selepas parti memilih pemimpin baharunya," kata Trudeau dalam satu sidang media di Ottawa.
Beliau menyatakan bahawa pemilihan kepimpinan Parti Liberal akan menjadi proses kompetitif yang menyeluruh di seluruh negara.
Ia bermakna Trudeau akan terus memimpin Kanada ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Donald Trump, memulakan pentadbirannya pada bulan ini dan akan bertanggungjawab dalam memimpin tindak balas awal negara itu terhadap pentadbiran AS, termasuk kemungkinan perang perdagangan.
Trump berikrar untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua import dari Kanada, yang mampu memberi kesan buruk kepada ekonomi negara itu dan Trudeau berjanji untuk bertindak balas terhadap perkara itu.
Dalam pada itu, Trump memberikan reaksi terhadap peletakan jawatan Trudeau dengan mengulangi cadangan yang tidak dijangka agar Kanada bergabung dengan jirannya di selatan.
"Bersama, ia akan menjadi satu negara yang hebat!!!" tulisnya di media sosial.
Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, yang akan tamat tidak lama lagi, memuji Trudeau sebagai rakan setia AS.
Jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, memberitahu wartawan bahawa AS akan berdiri bersama Kanada dan rakyatnya dalam memilih pemimpin baharu. - AFP
|