PEMILIK juga boleh memainkan peranan dalam membantu kucing yang mengalami kemurungan dengan meluangkan masa.
KEMURUNGAN adalah gangguan perasaan yang menyebabkan rasa sedih secara berpanjangan, mengalami keletihan, kekurangan tenaga, mudah marah dan kehilangan minat dalam aktiviti harian.
Seperti manusia, gejala kemurungan turut berlaku terhadap kucing.
Bagaimanapun, kemurungan si bulus menjadi lebih mencabar kerana kurang kesedaran dan kefahaman pemilik terhadap masalah membabitkan haiwan peliharaan itu.
Pensyarah kanan, bidang kebajikan haiwan dan tingkah-laku haiwan di Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syamira Syazuana Zaini berkata, masyarakat lebih cenderung memberi perhatian terhadap kesihatan fizikal berbanding kesihatan mental haiwan peliharaan.
Katanya, haiwan peliharaan seperti kucing juga mempunyai perasaan turut berdepan dengan kemurungan yang boleh menjejaskan emosi dan mental sehingga memberi kesan terhadap kesihatannya.
"Sekiranya kita buat perbandingan, tahap kemurungan manusia boleh dinilai berdasarkan skala pengukuran berbanding haiwan yang tiada skala khusus pengukuran (kemurungan).
"Bagaimanapun, kita tidak boleh nafikan, kucing dan haiwan peliharaan lain turut mengalami kemurungan seperti manusia atas beberapa faktor," katanya.
Kata Dr Syamira, pengetahuan pemilik terhadap sikap dan bahasa badan kucing dapat membantu menangani masalah kemurungan dengan segera.
GEJALA kemurungan kucing boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius.
"Kucing yang kemurungan biasanya akan berubah sikap dengan menunjukkan gejala kurang selera makan, kurang bermain dan tidak aktif berbanding sebelum ini.
"Kadang kala kucing boleh mengabaikan penjagaan dirinya atau boleh jadi terlalu menjaga penjagaan diri kerana keadaan persekitaran yang menyebabkan menjadi tidak tenang.
Selain itu, kucing yang mengalami kemurungan turut menunjukkan gejala suka kencing dan berak merata-rata.
"Sekiranya kucing menunjukkan gejala ini, pemilik perlu mengambil tindakan segera kerana masalah ini boleh menyebabkan masalah kesihatan lain termasuk jangkitan pundi kencing dan sebagainya," katanya.
Beliau menasihatkan, sekiranya melihat kucing menunjukkan gejala ini, pemilik perlu segera membawa haiwan peliharaan untuk pemeriksaan bagi mendapatkan kepastian sama ada ia berpunca daripada kemurungan atau sebaliknya.
KEHADIRAN kucing baru di kediaman boleh menjadi punca kemurungan kucing.
"Kebiasaannya, ujian diagnosis akan dijalankan di hospital untuk mengenal pasti masalah kesihatan fizikal yang dihadapi kucing.
"Jika ujian diagnosis menunjukkan dalam keadaan baik, maka langkah seterusnya akan diambil bagi mengenal pasti punca isu kemurungan sebenar dan untuk mengatasi isu seperti ini, kebiasaannya langkah yang perlu diambil adalah seperti menambah baik persekitarannya dan dalam keadaan tertentu penggunaan ubat juga membantu," katanya.
Tiga faktor yang menjadi punca kemurungan membabitkan kucing peliharaan:
1. Berpindah ke persekitaran baharu
Kucing yang sangat sensitif dengan perubahan di persekitaran baharu mudah mengalami kemurungan kerana sukar untuk menyesuaikan diri. Keadaan ini biasanya berlaku apabila pemilik berpindah ke kediaman baharu. Apabila kediaman baharu berbeza dengan sebelum ini, kucing yang tidak dapat menangani tekanan yang dihadapi boleh mengalami kemurungan. Perkara ini boleh dicegah apabila pemilik mengambil langkah awal dengan menyediakan persekitaran atau keperluan yang hampir sama seperti di 'rumah' lama untuk memberikan keselesaan kepada kucing menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. 2. Ketidakmampuan menunjukkan sikap normal
Sebagai contoh, keadaan ini boleh berlaku selepas pemilik menambah kucing baharu di dalam rumah sehingga mewujudkan konflik dengan kucing yang sudah biasa sendirian di kediaman itu. Kucing akan berasa terancam apabila ruang selamat di dalam rumah, dicerobohi kucing baru sehingga menunjukkan gejala kemurungan seperti suka bersembunyi, kurang selera makan dan mudah diserang penyakit. 3.Kehilangan
Apabila orang yang paling rapat sama ada meninggal dunia, berpindah ke tempat lain atau terputus hubungan, sudah pasti kita akan berasa sedih. Sekiranya tidak ditangani, ia boleh menyebabkan kemurungan. Perkara sama turut berlaku terhadap kucing. Apabila 'rakannya' tiada di sampingnya secara tiba-tiba, ia akan berasa kehilangan dan keadaan ini boleh menyebabkan kemurungan jika isu ini tidak ditangani awal.
|