'MKN perlu segerakan penempatan semula penduduk Bukit Malut' - Sanusi
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Januari 5, 2025 @ 3:17pm [email protected]
Laporan Berita Harian mengenai isu penempatan Bukit Malut kira-kira empat tahun lalu.
KULIM: Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa bertindak lebih pantas menguruskan proses penempatan semula penduduk yang mendiami perkampungan Bukit Malut, Langkawi.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini berikutan kerajaan negeri sudah bersetuju untuk melakukan pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan rumah baharu kepada penduduk berkenaan.
Jelasnya, perbincangan lanjut antara semua pihak termasuk penduduk Bukit Malut yang perlu dipindahkan sedang berjalan, namun proses itu dilihat perlu disegerakan.
"MKN sedang menguruskan hal itu (proses pemindahan), kita sudah setuju dengan MKN untuk buat pengambilan tanah, tapi rumah itu depa (penduduk Bukit Malut) kena beli.
"Proses itu memang akan ambil masa untuk pengambilan, bina rumah tapi kita nak MKN bertindak pantas sikit, perbincangan memang sudah ada harap benda tu dipercepatkan," katanya.
.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kulim Smart Pay di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mansor Zakaria dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Datuk Elmi Yusoff.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri berharap projek yang dirancang itu dapat dilaksana segera bagi menghentikan polemik yang wujud selama ini.
Katanya, ini selaras hasrat kerajaan negeri yang tidak mahu kegiatan pembinaan rumah haram di Bukit Malut berleluasa sehingga ke kawasan laut berdekatan.
Difahamkan, penempatan Bukit Malut mula dibuka sejak awal 80-an oleh kumpulan pelarian Myanmar, yang membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum berkembang sehingga ke kawasan darat.
Penduduk Bukit Malut mendakwa mereka adalah orang Melayu Islam Kedah (MIK) yang memiliki dokumen pengenalan diri MyKad, membolehkan mereka menjadi pengundi berdaftar.
Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya akan berbincang bersama MKN bagi mencari jalan penyelesaian terbaik agar penempatan terbabit tidak terus menjadi tempat longgokan sampah dan memberi masalah kepada penduduk tempatan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1345254/mkn-perlu-segerakan-penempatan-semula-penduduk-bukit-malut-sanusi
|