TANGKAP layar daripada video penyiar China CCTV menunjukkan sebahagian jalan menuju ke terowong berkenaan.
Beijing: China pada 30 Disember lalu menyiapkan pembinaan terowong lebuh raya terpanjang di dunia melalui pergunungan yang dilitupi salji di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, menandakan satu peristiwa penting dalam pembangunan infrastrukturnya, lapor China Daily.
Setelah beroperasi, Terowong Tianshan Shengli sepanjang 22.13 kilometer (km) akan mengurangkan masa perjalanan melalui Pergunungan Tianshan - salah satu banjaran gunung terpanjang di dunia - daripada tiga jam kepada kira-kira 20 minit.
Ia akan meningkatkan kesalinghubungan antara utara dan selatan Xinjiang dengan ketara dan membantu wilayah itu, yang menjadi kawasan teras di Jalur Ekonomi Jalan Sutera, terus terbuka kepada negara-negara Eurasia, kata kerajaan serantau.
Sebagai bahagian penting dari Lebuhraya Urumqi-Yuli sepanjang 319.72 km, dari ibu kota wilayah Urumqi di utara Xinjiang ke daerah Yuli di selatan Xinjiang, terowong itu akan mengurangkan masa pemanduan antara dua lokasi daripada kira-kira tujuh jam kepada lebih tiga jam.
Kerja pembinaan terowong itu bermula pada April 2020. Pasukan pembinaan terpaksa mengatasi banyak kesukaran dan terus berinovasi untuk mengatasi cabaran seperti purata ketinggian pembinaan melebihi 3,000 meter dan keadaan geologi yang rumit.
Dengan tapak pembinaan yang terletak berhampiran dengan Glasier Nombor 1 Tianshan dan kawasan perlindungan sumber air Urumqi, pasukan itu juga dikehendaki mengekalkan piawaian perlindungan ekologi yang sangat tinggi.
Ini juga kali pertama mesin boring (penggerekan) terowong digunakan untuk membina terowong jalan raya di China, menandakan satu kejayaan besar teknologi penggunaan teknologi baharu membantu mengurangkan masa pembinaan daripada 10 tahun kepada hanya lebih empat tahun.
Disiarkan pada: Januari 4, 2025
|