Wanita cedera ditikam anak saudara
BERNAMA - Januari 3, 2025 @ 11:59pm
Foto hiasan.
BUTTERWORTH: Seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditikam dengan pisau oleh anak saudaranya ketika berlaku pertengkaran mulut antara mereka dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya, Perai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.30 pagi, yang mmbabitkan mangsa berusia 35 tahun yang ditikam di bahagian perut oleh anak saudaranya.
"Berdasarkan siasatan awal, remaja perempuan berusia 14 tahun itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu kerana menghadapi masalah keluarga.
"Kejadian tikaman itu berlaku ketika mereka berada di ruang tamu rumah itu," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pertengkaran mulut berlaku antara mereka apabila suspek ingin kembali tinggal bersama ibu kandungnya, namun dihalang oleh mangsa.
Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut manakala suspek ditahan di lokasi kejadian bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1344675/wanita-cedera-ditikam-anak-saudara
|