JITRA: "Saya rasa macam mimpi apabila dapat membeli sebuah kereta terpakai yang baharu dengan hasil wang sumbangan orang ramai yang terima.
"Selama ini Allah SWT mendengar doa saya kerana saya tidak mampu menggembirakan anak-anak tetapi hari ini mereka sangat gembira," kata Nor Aza Hamzah, 43.
Nor Aza sudah pun membeli sebuah kereta Proton Saga terpakai di sebuah kedai kereta di Bandar Darul Aman di sini, semalam untuk kegunaan menghantar anak-anaknya ke sekolah.
Katanya, kereta itu dibeli menggunakan wang sumbangan ihsan daripada orang ramai selepas kisahnya disiarkan di Harian Metro sejak Selasa lalu.
"Kereta ini lebih selesa dan memudahkan saya untuk menghantar tiga anak ke sekolah manakala Perodua Kancil itu pula akan saya gunakan untuk menjual telur masin serta mengangkut perut ayam di pasar untuk diberi pada ikan keli peliharaan.
"Saya terharu kerana tak sangka akan dapat semua ini dan baki wang sumbangan akan digunakan untuk menyara anak-anak serta persekolahan mereka.
"Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal Dan semua pembaca Harian Metro yang banyak membantu saya sehingga ke tahap ini," katanya ketika ditemui semalam.
Nor Aza berkata, mungkin ini juga hikmah yang berlaku kerana banyak itik peliharaannya yang menjadi sumber rezekinya bagi menjual telur masin mati akibat tenggelam dalam banjir yang melanda baru-baru ini.
Selain itu, ikan keli peliharaannya juga turut hanyut dalam kejadian banjir itu dan rezeki yang dapat hari ini akan digunakan sepenuhnya untuk memulakan hidup baru.
"Mungkin ini rezeki buat saya dan saya bersyukur walaupun ditimpa musibah banjir baru-baru ini, ini rezeki yang Allah nak bagi.
"Doakan anak sulung saya, Aqil Amjad Mohd Asri, 11, berjaya dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) minggu depan dan harapan saya supaya keputusan pencapaiannya cemerlang kerana dia belajar di sekolah agama," katanya.
Kisah Nor Aza sebelum ini dilaporkan melalui Harian Metro kerana menggunakan kereta Perodua Kancil yang sudah buruk dan kerap rosak untuk menghantar tiga daripada empat anaknya ke sekolah setiap hari.
Selain itu, Harian Metro turut pernah menyiarkan kisah Nor Aza yang menjaga arwah suaminya, Mohd Asri Zakaria pada 4 November 2022 yang menghidap kanser buah pinggang.
Selepas suaminya meninggal, Nor Aza menumpang di rumah mentuanya bersama empat anaknya yang berusia 11 hingga tiga tahun di Kampung Alor Senjana, Titi Gajah selain menjaga ibu mentuanya, Aishah Salleh, 75, serta ibu saudaranya yang mengalami masalah jiwa.