Bayan Lepas: Seramai 30 warganegara Malaysia dikesan menjadi mangsa sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di Kemboja, yang dijangka berlepas ke negara itu esok.
Mangsa dijangka berlepas menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi sindiket yang dipercayai didalangi warga Taiwan.
Ketua Skuad Banteras Wong Kin Wai berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai sindiket termasuk senarai nama mangsa yang mahu bekerja di negara berkenaan.
"Sindiket dikatakan menggunakan warga tempatan bagi menarik dan membuat tawaran pekerjaan kepada mangsa yang berusia 20 hingga 40 tahun.
"Mangsa ditawar dengan pekerjaan yang membawa gaji lumayan sehingga mencecah RM30,000 namun apabila tiba di negara itu, mereka dibimbangi didera serta diperdaya," katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, Wong bersama Skuad Banteras ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, bagi tindakan pihak berkuasa supaya menghalang tindakan sindiket itu dengan segera.
Katanya, pihaknya juga akan merujuk perkara itu kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan pergerakan sindiket yang membawa kesemua mangsa ke negara terbabit, digagalkan.
"Sindiket ini dipercayai berlaku sejak 2020 dan mereka didakwa membawa mangsa ke negara itu sehingga tujuh kali setiap bulan.
"Kebanyakan mangsa adalah golongan yang sedang mencari pekerjaan dan sebaik tiba di Kemboja, barulah mereka sedar ditipu sindiket," katanya lagi.
Pihaknya juga memohon kepada JIM supaya melancarkan 'red alert' bagi aktiviti keluar negara dengan siasatan serta pengesahan penerbangan ke Kemboja selain memantau penerbangan itu.
"Kita juga menggesa supaya diperketatkan undang-undang dan syarat kebenaran visa jangka panjang kepada rakyat Malaysia yang ingin ke Kemboja.
"Orang ramai juga dinasihati supaya berhati-hati dengan taktik sindiket yang menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di luar negara," katanya.