CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 59789|Reply: 0

[Pulau Pinang] Tak sangka tindakan kecil dapat perhatian begitu besar

[Copy link]
Post time 14-12-2024 03:30 PM | Show all posts |Read mode
Tak sangka tindakan kecil dapat perhatian begitu besar

BERNAMA




JANORASHIKIN menyuap murid-murid pra sekolah. FOTO Bernama



Nibong Tebal: Perlakuan bersahaja seorang guru, Janorashikin Jasdi menyuapkan makanan ke mulut murid prasekolah dari kaum India ketika menyertai satu perlawanan bola sepak di Pulau Pinang, mendapat pujian ramai selepas video yang memaparkan keprihatinannya itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Rata-rata komen yang mengiringi video itu menggambarkan ia sebagai cerminan semangat perpaduan yang tebal dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau dilihat tulus semasa mengalas tanggungjawab sebagai seorang guru tanpa mengira latar belakang anak muridnya, dan sifat keibuannya terserlah ketika beliau dilihat meniup makanan yang panas itu dengan cermat sebelum disuapkan ke mulut muridnya.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, Janorashikin, 39, yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jawi, di sini, berkata, kejadian itu dirakam pada 7 Disember lalu tanpa disedarinya.

Beliau berkata, ketika itu Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Piala Beyond Kids anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) sedang berlangsung di padang Universiti Sains Malaysia (USM), dan pasukan sekolah berkenaan mendapat tempat kedua.

Mengimbas peristiwa itu, Janorashikin berkata, pada hari berkenaan beliau bertindak sebagai kitman atau pembantu pasukan prasekolah SJKT Ladang Jawi.

"Perbuatan (menyuapkan makanan) itu berlaku secara spontan kerana ketika itu waktu rehat dan kami kesuntukan masa, memang nak suap murid makan saja, tak sangka pula ia menjadi tular dan saya dihujani dengan komen-komen positif daripada banyak pihak.

"Pada hari itu memang seharian saya duduk di padang bersama guru untuk beri sokongan sebab murid dilihat sangat bersemangat mahu menang, dan saya hanya mengetahui mengenai rakaman itu selepas pulang ke rumah sekitar 4 petang apabila ia dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp sekolah," katanya ketika ditemui di SJKT Ladang Jawi, di sini.

Janorashikin berkata, pada awalnya beliau menangis sebab terlalu terharu dengan komen-komen positif yang diterima, malah langsung tidak menyangka tindakan kecil itu mendapat perhatian yang begitu besar selepas ia dirakam oleh waris kepada seorang muridnya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, beliau langsung tidak kekok menguruskan murid-murid berkenaan meskipun berlainan bangsa dan agama, malah memberi layanan dan kasih sayang sama seperti yang diberikan kepada anak-anaknya di rumah.

Janorashikin berkata, rutin hariannya juga bukan setakat menjadi pembantu kepada guru prasekolah itu, tetapi turut menyediakan makanan untuk 25 murid, sekali gus menyebabkan beliau begitu rapat dengan mereka biarpun baru 10 bulan bertugas di sekolah berkenaan.

Sepanjang 18 tahun bergelar PPM, Janorashikin pernah ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) selama 10 tahun kemudian ke Sekolah Kebangsaan (SK), sebelum berpindah ke SJKT Ladang Jawi Februari lalu.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan M Gogilambal menyifatkan perbuatan Janorashikin itu sebagai satu tindakan terpuji yang wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga pendidik, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini, seperti mana ditekankan oleh Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tugasan sebagai pendidik bukan sekadar mengajar anak murid, tetapi pada masa sama turut menekankan mengenai pentingnya nilai-nilai murni.

"Jadi, saya amat berbangga dengan puan Nora (Janorashikin) sebab dia bukan sahaja seorang yang prihatin tetapi juga sayangkan anak-anak murid di sini. Disebabkan video tular itu, saya mendapat banyak reaksi daripada rakan-rakan guru lain yang memuji tindakan itu, sekali gus membuatkan sekolah ini dikenali," katanya.

Guru prasekolah, R Sanggari turut mengakui senang bekerja dengan Janorashikin yang disifatkannya sebagai seorang yang cepat mesra dengan kanak-kanak.

"Pada hari pertama dia (Janorashikin) datang ke sini, saya rasa agak risau juga sebab dia tiada pengalaman dengan kanak-kanak India, tapi sangkaan saya meleset sebab tak sampai seminggu dia sudah rapat dengan mereka," katanya.

Disiarkan pada: Disember 14, 2024 @ 3:03pm
https://www.hmetro.com.my/utama/2024/12/1166105/tak-sangka-tindakan-kecil-dapat-perhatian-begitu-besar





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 05:00 AM GMT+8 , Processed in 0.049595 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list