Georgetown: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka laporan penuh siasatan kes mayat bayi yang didakwa disimpan dalam peti sejuk selama dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bil akan diperoleh selewat-lewatnya minggu depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sudah menjalankan siasatan mengenai kes itu dan pihaknya masih menunggu dapatan penuh selepas mesyuarat pasca Kabinet diadakan semalam.
"Rangka masa bagi saya sentiasa merujuk kepada mesyuarat pasca Kabinet yang seterusnya. Kami mengadakan mesyuarat mingguan dengan mesyuarat terbaru diadakan semalam pada Jumaat. Jadi, pada waktu itu, saya ingin melihat kemas kini atau dapatan yang akan dipersembahkan semasa mesyuarat pasca Kabinet saya.
"Harapnya, saya akan ada mesyuarat terakhir sebelum akhir tahun, iaitu minggu depan," katanya pada sidang media selepas merasmikan 1st Malaysia Community First Responder Conference, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly menegaskan KKM memberi perhatian penuh terhadap kes itu namun pada masa sama, pihaknya harus menunggu dapatan dan hasil siasatan untuk berlaku adil kepada semua pihak.
"Kita tentunya bersimpati dan berempati dengan keluarga dalam tragedi ini. Saya mengharapkan laporan dapat disegerakan kerana saya tahu siasatan sudah dijalankan.
"Dapatan awal juga sudah ada, dan saya yakin kita akan dapat mendengarnya tidak lama lagi. Saya percaya semua pihak, termasuk anda, ingin mendengar hasilnya secepat mungkin," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua perkhidmatan hospital swasta di negara ini terikat di bawah Akta 586 yang juga dikenali sebagai Akta Perkhidmatan Hospital Swasta.
"Walaupun pemantauan sentiasa menjadi fokus utama kami, kes ini dilihat agak unik dari segi latar belakang dan situasi, ia menjadikannya berbeza daripada kes-kes lain," katanya.
Beliau berkata, sementara KKM memberi tumpuan terhadap menambah baik sistem penjagaan kesihatan awam termasuk reformasi penghantaran perkhidmatan, sumber manusia, dan klinik daif, pihaknya juga memberi perhatian kepada sektor swasta, terutama berkaitan kos perubatan.
"Kita semua tahu bahawa Malaysia ada pergantungan kesejahteraan awam dan kesejahteraan swasta. Menteri ini bukan saja menteri kesejahteraan awam, menteri ini juga adalah menteri yang akan mengawal seluruh ekosistem kesejahteraan dalam negara ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham, Safwan Roshdy kecewa dan sedih dengan tindakan hospital 'menahan' jenazah anaknya selama dua minggu.
Pekerja kilang itu berkata, anak sulungnya yang dilahirkan tidak sempurna tanpa sebelah mata, hidung dan lubang dubur meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran.
Bagaimanapun, dia mendakwa pihak hospital tidak membenarkan dia menuntut jenazah bayinya itu sehingga bil rawatan dijelaskan.