Edited by sfhzuraz at 14-12-2024 01:03 AM
MPPK harap FLYSiswa diperluas kepada mahasiswa IPTS kurang mampu
MOHD ISKANDAR OTHMAN
13 Disember 2024 06:54pm
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Muhammad Nazmi Hakimi)
GEORGE TOWN - Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, FLYsiswa yang dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Januari depan.
Timbalan Presidennya, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman berkata, pengumuman itu membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat akan kebajikan mahasiswa khususnya bagi golongan yang memerlukan dan berusaha meringankan beban kewangan yang dihadapi.
Bagaimanapun, beliau berharap agar pelaksanaan FLYSiswa ini dapat diperluaskan kepada mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang juga turut berdepan dengan cabaran kewangan.
"Syarikat penerbangan juga disarankan agar dapat menyokong inisiatif ini dengan menawarkan tawaran yang berbaloi kepada mahasiswa dan bukannya mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga tiket penerbangan.
"Pastinya kita mahukan segala usaha murni ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan disambut baik oleh semua pihak," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Januari depan.
Beliau berkata, langkah itu merupakan antara ikhtiar kerajaan dalam meringankan beban mahasiswa dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang berdepan isu tiket penerbangan yang agak tinggi apabila ingin pulang ke negeri masing-masing.
Inisiatif FLYSiswa dijangka bakal memanfaatkan kira-kira 60,000 mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia dengan peruntukan berjumlah RM24 juta.
Diperkenal pada 2023, FLYsiswa dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell dengan syarikat penerbangan tempatan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman terutama mereka yang tiada pilihan mod pengangkutan selain penerbangan.
https://www.sinarharian.com.my/article/702098/berita/nasional/mppk-harap-flysiswa-diperluas-kepada-mahasiswa-ipts-kurang-mampu
|