SADA komited atasi gangguan air sepanjang LIMA '25
Oleh Hamzah Osman - Disember 13, 2024 @ 8:57am [email protected]
Radzuan (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Pelan Tindakan Persediaan SADA Bagi Menghadapi LIMA edisi ke-17 di Langkawi. - Foto ihsan Facebook SADA
LANGKAWI: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) komited memastikan tiada gangguan bekalan air sepanjang berlangsung Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) mulai 20 hingga 24 Mei depan.
Sehubungan itu, syarikat itu telah mengadakan Mesyuarat Pelan Tindakan Persediaan SADA Bagi Menghadapi LIMA edisi ke-17 diadakan di sini, semalam.
Menerusi akaun rasmi Facebook rasminya, SADA memaklumkan mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Radzuan Osman.
"Berbaki lima bulan sebelum bermulanya acara dwitahunan peringkat antarabangsa itu, SADA akan melakukan persediaan rapi khususnya dari aspek teknikal.
"Berbekalkan pengalaman dalam menghadapi beberapa siri LIMA sebelum ini, SADA berharap bekalan air yang konsisten dan mencukupi dapat disalurkan kepada pengguna sepanjang pameran itu berlangsung," katanya.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi SADA, Zulazni Mohd Noor dan ketua-ketua jabatan syarikat itu yang juga pemegang lesen tunggal pembekal air terawat di Kedah.
LIMA '25 anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) membawa tema 'Innovate Today, Thrive Tomorrow'.
Pameran berprestij itu juga bakal memperkenalkan beberapa segmen baharu termasuk inovasi aeroangkasa dan maritim, pelayaran dan pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain penambahan ruang pameran dan teknologi hijau.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1336324/sada-komited-atasi-gangguan-air-sepanjang-lima-25
|