Georgetown: Tiga premis makanan diarah tutup berikutan keadaan kebersihan terutamanya di bahagian dapur kurang memuaskan dan tidak mencapai piawaian ditetapkan dalam operasi kebersihan di daerah Timur Laut, hari ini.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan memaklumkan ketiga-tiga premis diarah tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan di bahagian dapur dan stor penyimpanan makanan menemukan najis tikus dan lipas.
"Pemeriksaan mendapati peralatan perangkap minyak didapati rosak dan tidak berfungsi dengan baik malah turut membenarkan pelanggan merokok dalam kedai mereka.
"Pemantauan dan pemeriksaan mengejut ke semua premis makanan di bahagian pulau akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan premis sentiasa bersih dan mencapai piawaian pemarkahan ditetapkan," menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook MBPP, malam ini.
MBPP memaklumkan dalam operasi itu, sebanyak 13 Notis Tawaran Kompaun (NTK) telah dikeluarkan berdasarkan pelbagai kesalahan.
Antaranya mempamerkan iklan tanpa lesen, tidak menjalani pemeriksaan doktor, tidak mengambil langkah-langkah sesuai untuk elak makanan tercemar, meletak makanan mentah kurang 20cm daripada paras lantai dan menggunakan bungkusan tidak bersih atau bercetak untuk membungkus makanan.