Sik: "Tiada apa yang tinggal kerana kebanyakan barangan di luar dan dalam rumah sudah dihanyutkan air dalam kejadian banjir minggu lalu.
"Banjir kali ini sangat teruk dan kali terakhir berlaku ketika 36 tahun lalu dan (kali ini) kami tak jangka air akan naik sehingga mencecah ke paras dada," kata Mohd Rosli Wahab, 45.
Mohd Rosli yang juga penduduk Kampung Kuala Beris di sini, berkata, air mula masuk ke dalam rumah pada 8 malam 1 Disember lalu, selepas air Sungai Muda meningkat susulan hujan lebat.
Pada mulanya, dia menjangkakan air hanya pada pada lututnya, namun lama-kelamaan, air sungai naik dengan cepat dan masuk ke dalam rumahnya.
"Kami sekeluarga tak sempat selamatkan barangan di luar dan dalam rumah apabila kebanyakannya dihanyutkan air sungai.
"Saya suruh ahli keluarga dalam rumah terutamanya wanita dan kanak-kanak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas bomba datang untuk menyelamat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Penduduk lain, Che Mah Lazim, 60, berkata, banjir secara 'mengejut' itu menyebabkan dia hanya sempat mengeluarkan barangan elektrik dan perabot.
Katanya, jika berlaku lagi banjir di situ, dia akan melarikan diri ke atas bukit berhampiran.
"Banyak barangan dalam rumah tenggelam dalam air termasuk pakaian semua habis basah kerana air masuk sehingga paras pinggang.
"Siapa sangka banjir kali ini sangat teruk tetapi saya sempat membawa keluar barangan elektrik kerana air masuk penuh ke dalam rumah dalam masa empat jam," katanya.
Penduduk lain, Zaidi Yaacob, 57, berkata, pada mulanya air sungai penuh di hadapan rumah pada paras buku lalinya sahaja, namun lama-kelamaan ia menenggelamkan kawasan itu.
Katanya, dia dan dua anaknya serta isteri hanya sempat mengangkat kerusi di atas meja sebelum keluar ke tempat selamat.
"Saya masih trauma mengenangkan kejadian itu kerana sudah lebih 30 tahun kawasan ini tidak banjir, tapi kali ini air naik terlalu cepat hingga menyebabkan ramai penduduk di sini berpindah ke PPS," katanya.