Edited by sfhzuraz at 10-12-2024 02:25 PM
Gempar ular sawa 'tunggu' dekat lampu isyarat
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
10 Disember 2024 12:53pm
Anggota APM Pulau Pinang berjaya menangkap ular sawa albino selepas berusaha selama 40 minit.
GEORGE TOWN - Orang awam yang melalui Jalan Macalister di sini gempar apabila menemui seekor ular sawa albino berdekatan lampu isyarat di jalan berkenaan pada pagi Selasa.
Ular sawa sepanjang 4.26 meter dengan berat hampir 30 kilogram itu ditemui pada jam 7.55 pagi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan ular sawa jenis Reticulated Pyton Albino itu.
"Sejurus menerima panggilan, tiga anggota terus ke lokasi kejadian. Akhirnya kita berjaya menangkap haiwan reptilia tersebut.
"Berdasarkan penelitian awal, ular ini bukan haiwan yang dibela, namun ia adalah ular sawa tempatan tapi daripada jenis albino," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berhadapan kesukaran untuk menangkap ular tersebut kerana ia agak agresif.
Anggota APM Pulau Pinang berhadapan kesukaran untuk menangkap ular tersebut kerana ia agak agresif.
"Pada mulanya, anggota APM menghadapi kesukaran untuk menangkap ular ini kerana ia cuba lari ke dalam lubang.
"Namun selepas beberapa kali cubaan, ular ini berjaya ditangkap selepas 40 minit kita berusaha untuk menangkapnya," ujarnya.
Tambahnya lagi, ia berjaya dibawa keluar dari lubang berkenaan dengan selamat tanpa sebarang luka pada badan ular tersebut.
"Reptilia berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/701462/edisi/utara/gempar-ular-sawa-tunggu-dekat-lampu-isyarat
|