Pengurus syarikat kitar semula plastik didenda RM75,000
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
09 Disember 2024 11:15am
Pengurus syarikat mewakili Grey Matter Plastic Industries Sdn Bhd (kiri) didenda RM75,000 selepas mengaku salah membina loji kitar semula sisa plastik tanpa kebenaran.
SUNGAI PETANI - Seorang pengurus syarikat didenda RM75,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku salah membina loji kitar semula sisa plastik tanpa kebenaran.
Pengakuan bersalah dilakukan Pengurus syarikat mewakili Grey Matter Plastic Industries Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) di hadapan Hakim Azman Abu Hassan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, OKS telah menjalankan aktiviti yang ditetapkan iaitu Aktiviti 14(b)(ii), Jadual Pertama, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, pembinaan loji kitar semula sisa pepejal iaitu sisa plastik tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
Kesalahan itu dilakukan pada 3 Julai 2024, lebih kurang jam 10.40 pagi hingga 2.30 petang bertempat di premis Grey Matter Plastic Industries Sdn Bhd beralamat di Plot 11, Jalan PKNK 1/6, Kawasan Perindustrian LPK, Taman Ria Jaya di sini.
Dengan ini, OKS telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan boleh dihukum bawah Seksyen 34A(8), Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan RM1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disampaikan kepadanya suatu notis yang diberi oleh Ketua Pengarah menghendakinya mematuhi tindakan yang dinyatakan di dalamnya itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Muniff Mat Rus dan Ahmad Mustaqim Mohd manakala OKS tidak diwakili peguam.
https://www.sinarharian.com.my/article/701206/berita/semasa/pengurus-syarikat-kitar-semula-plastik-didenda-rm75000
|