KPM dalam proses nilai kerosakan sekolah terlibat banjir - Fadhlina
08 Disember 2024 12:50pm
Fadhlina - Foto Bernama
BUTTERWORTH - Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengenal pasti sekolah yang terlibat dengan gelombang pertama banjir di sembilan negeri baru-baru ini, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, KPM sedang dalam proses membuat penilaian jumlah kos bagi kerosakan yang dialami sekolah-sekolah berkenaan.
“Gelombang pertama kita dah ada bilangannya, cuma sedang dikenal pasti dari segi unjuran kos (kerosakan) yang terlibat dan kita juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan lain,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Semalam Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan bekerjasama dengan KPM untuk menyalurkan bantuan segera bagi membaik pulih sekolah yang terjejas akibat banjir kembali beroperasi secepat mungkin.
Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau berpuas hati dengan semua persiapan yang telah dilaksanakan KPM setakat ini, termasuk mengaktifkan Ops Payung bagi memastikan kelancaran Ujian Amali Sains bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual berlangsung ketika negara dijangka dilanda gelombang kedua banjir.
“Esok, Selasa dan Khamis kita ada Ujian Amali Sains dan diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16 hingga 19 Dis), jadi persiapan dalam keadaan yang sangat baik,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga Rabu ini di tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/701095/berita/nasional/kpm-dalam-proses-nilai-kerosakan-sekolah-terlibat-banjir---fadhlina
|