Zulkipli menyampaikan sijil penghargaan dan plak jasamu dikenang kepada ASP Fazirul pada majlis tersebut.
SIBU: Perjumpaan bersama pegawai kanan polis IPD Sibu dan Majlis Jasamu Dikenang berlangsung dengan penuh hormat dan penghargaan di Wisma Pengaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama dan dedikasi pegawai-pegawai kanan polis dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terjamin.
"Kita menghargai setiap usaha dan pengorbanan yang diberikan oleh pegawai-pegawai kita sepanjang perkhidmatan mereka di sini.
“Semangat ini perlu diteruskan di mana sahaja mereka ditempatkan," katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada pegawai yang menjalani pertukaran sebagai tanda penghormatan terhadap jasa mereka.
Antaranya, ASP Mohd Fazirul Mohd Fisol yang akan memegang jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) IPD Betong.
Zulkipli berkata, penghormatan ini bukan sekadar formaliti tetapi sebagai satu pengiktirafan terhadap kerja keras pegawai membantu menaikkan nama IPD Sibu sebagai pasukan cemerlang dalam perkhidmatan kepada masyarakat.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Boniface Bajai bersama ketua-ketua bahagian dan pegawai kanan lain.
Kehadiran mereka menyerlahkan kesatuan dan semangat kekeluargaan dalam organisasi tersebut.
Majlis yang penuh bermakna ini berakhir dengan sesi jamuan ringan di mana hadirin mengambil kesempatan berinteraksi secara santai.
Ia menjadi platform yang mengeratkan hubungan antara pegawai-pegawai di IPD Sibu.
Dengan pertukaran ini, Zulkipli berharap pegawai-pegawai terlibat dapat terus mengekalkan integriti dan profesionalisme menjalankan tugas mereka di lokasi baharu.
"Semoga mereka menjadi contoh dan inspirasi kepada pegawai-pegawai lain," jelasnya.
|