Pengendali Chelsea, Enzo Maresca (tengah) meraikan kemenangan ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London. - Foto REUTERS LONDON: Pengendali Chelsea, Enzo Maresca tidak terbawa-bawa dengan deretan keputusan cemerlang skuad mudanya selepas kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Bagi Maresca, situasi itu tidak mengubah pendiriannya sebelum ini yang beranggapan Chelsea belum cukup matang untuk bersaing merebut kejuaraan liga musim ini.
Chelsea menguasai sepenuh permainan menentang Villa dengan Nicolas Jackson, Enzo Fernandez dan Cole Palmer menemui sasaran untuk melonjak pasukan ke tangga ketiga liga, berkongsi 25 mata dengan Arsenal di tangga kedua dan sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool.
Menurut Maresca, skuadnya masih jauh di belakang Liverpool dan Manchester City daripada segi pengalaman dalam perlawanan penting serta tekanan memburu kejuaraan.
"Pemain-pemain ini, sebahagian daripada mereka, dalam kehidupan, pengalaman mereka, mungkin baru bermain satu final.
"Jadi anda perlu mengharunginya lebih kerap untuk menjadi lebih baik dan apabila kami mula mendapat pengalaman itu, kami akan tampil lebih bagus untuk bersaing.
"Kami akan sampai di sana tidak lama lagi, tetapi buat masa ini kami masih jauh dan belum bersedia untuk bersaing dengan kelab-kelab berkenaan," kata Maresca. Chelsea mara ke final Piala Liga di Wembley musim lalu tetapi tewas kepada Liverpool 1-0. - REUTERS
|