Edited by sfhzuraz at 26-11-2024 02:15 PM
Masalah air bukan hanya berlaku di Mukim 5 sahaja
MOHD ISKANDAR OTHMAN
26 November 2024 01:53pm
Zairil
GEORGE TOWN - Masalah tekanan air rendah dan ketiadaan air ketika waktu puncak bukan hanya berlaku di Mukim 5 di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sahaja malah ia turut berlaku di lain-lain daerah seluruh Pulau Pinang.
Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, punca utama masalah tekanan air rendah dan ketiadaan air ketika waktu puncak adalah disebabkan oleh beberapa perkara antaranya penggunaan air per kapita sehari (LKH) yang tinggi di negeri ini.
Menurutnya, penggunaan air pada masa ini adalah sebanyak 307 LKH, lebih dua kali ganda daripada sasaran purata nasional 180 LKH pada tahun 2025.
“Impak ini memberi kesan kepada tekanan air semasa waktu puncak dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 6 petang hingga 11 malam.
“Selain itu, anggaran keperluan 10 tahun oleh Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah meningkat dalam tempoh empat tahun sahaja.
“Pembangunan yang pantas dalam sektor semikonduktor juga dilihat antara punca kepada masalah ini yang mana kita dapat melihat banyak industri baru khususnya di Seberang Perai Selatan (SPS) melebihi jangkaan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Selasa.
Zairil (PH-Tanjung Bunga) menjawab soalan yang dibangkitkan Abdin Ismail (PN-Sungai Bakap) mengenai faktor pembangunan dan perindustrian di Batu Kawan yang dikatakan menjadi sebab utama masalah tekanan air rendah di negeri ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, antara punca lain adalah peningkatan peratusan kadar air tidak terhasil (NRW) kerana PBAPP terpaksa meningkatkan tekanan paip-paip utama supaya lebih banyak air dapat disalurkan kepada pengguna untuk kegunaan harian.
“Penggunaan pam persendirian dan penyambungan dari paip PBAPP secara haram juga menyebabkan gangguan kepada tekanan air sedia ada.
"Bagaimanapun, PBAPP akan berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi masalah berkaitan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan dan perindustrian di Batu Kawan dan Pulau Silikon bukanlah punca utama kepada masalah tekanan air di Mukim 5 Daerah SPS.
Katanya, PBAPP telah menerima sebanyak 2,844 permohonan Kebenaran Merancang di seluruh negeri Pulau Pinang untuk tempoh tahun 2019-2023.
https://www.sinarharian.com.my/article/698752/edisi/utara/masalah-air-bukan-hanya-berlaku-di-mukim-5-sahaja
|