Imam meninggal ketika sujud
Oleh Nur Izzati Mohamad - November 8, 2024 @ 10:23pm[email protected]
Yakob dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan bersujud ketika mengimamkan solat subuh di Surau Permatang Pak Elong, hari ini. - Foto ihsan pembaca
KEPALA BATAS: Seorang imam dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan bersujud ketika mengimamkan solat subuh di Surau Permatang Pak Elong, di sini, hari ini.
Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, melalui hantaran dalam Facebook beliau.
Reezal Merican berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa Yakob Ramli meninggal dunia ketika melakukan sujud sejadah dalam solat subuh, hari ini.
Difahamkan ketika itu, Yakob tiba-tiba terdiam dan tidak bergerak.
Berdasarkan gambar yang tular, beberapa jemaah dilihat cuba memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada Yakob.
Namun, imam itu disahkan meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk tindakan lanjut.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Bogak, di sini, selepas solat Jumaat tadi.
Sementara itu, rata-rata warga maya dalam media sosial menyatakan mereka mencemburui cara pemergian Yakob yang meninggal dunia dalam keadaan baik dan pada Jumaat yang mulia.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1321460/imam-meninggal-ketika-sujud
|